Oleh : HABSAH ALI
INDERA MAHKOTA 31 Jul – Kegusaran penduduk sekitar Stesen ECRL Cherating berhubung pembinaan jalan susur keluar masuk akhirnya mendapat penjelasan dalam satu pertemuan khas di sini semalam.
ADN Beserah, YB Dato’ Andansura Rabu berkata pertemuan bersama pihak Malaysia Rail Link (MRL), kontraktor CCCC dan wakil penduduk diadakan di Pejabat Tapak ECRL Section 5, Kemaman.
“Saya menerima maklumat daripada penduduk Chendor, lalu meninjau lokasi berkenaan dua minggu yang lalu, antara isu utama ialah risiko banjir,” katanya.
Menurut beliau, kawasan yang dibangunkan adalah kawasan paya tadahan air, yang turut menerima aliran dari Paya Berenjut dan Mak Lagam di Kemaman.
Namun pihak MRL memberi jaminan bahawa kajian teknikal mendapati tiada risiko banjir, malah langkah pencegahan telah dirancang.
“Penjelasan ini sedikit sebanyak melegakan penduduk dan saya berharap pelaksanaan projek berjalan lancar,” katanya.