Home Berita PAS Terengganu

Kebersihan tanggungjawab bersama – ADUN Batu Buruk

193
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kebersihan merupakan tanggungjawab semua pihak baik di peringkat kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi bersama NGO Geng Plastik Ija pada Jumaat lalu telah mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan Pantai Pandak, Chendering.

Program tersebut juga mendapat sambutan yang menggalakkan daripada komuniti setempat termasuklah para pengunjung yang hadir ke situ.

“Apa yang kita buat hari ini untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya kita menjaga kebersihan.

“Kita sering memberikan contoh negara Jepun yang begitu berdisiplin tentang kebersihan.

“Justeru, kita perlu mendidik masyarakat kita sehingga ke tahap itu dan ditambah lagi Islam juga sangat menekankan kepentingan menjaga kebersihan,” kata Ustaz Muhammad Khalil dalam ucapannya.

Tambah beliau lagi, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk mengucapkan terima kasih kepada Geng Plastik Ija dan semua yang turut serta dalam program tersebut.

“Semoga kerjasama ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang,” katanya lagi.

Program gotong-royong itu telah berjaya mengumpulkan sebanyak 706kg sampah dan melibatkan seramai 200 orang sukarelawan.

ADUN Batu Buruk menyerahkan sumbangan kepada NGO Geng Plastik Ija.