Home Berita PAS Terengganu

Keberkesanan Pulau Buatan akan dinilai semula setelah siap 2026

23
SHARE

KUALA NERUS – Pulau Buatan yang akan berperanan sebagai ‘breakwater’ (pemecah ombak) akan dinilai semula selepas projek itu selesai pada September  2026.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, dalam tempoh projek itu berjalan maka pelbagai spekulasi serta pandangan akan dilontarkan oleh orang ramai.

Katanya, projek yang menelan kos sebanyak RM90 juta tersebut kini sedang giat berjalan dan dijangka siap pada September 2026.

“Bila semua siap ‘breakwater’ ini maka pada masa itulah kita akan lihat kesan dia tetapi setakat kajian yang dibuat, konsultan memberikan pandangan kepada kita untuk buat projek ini dahulu.

“Tetapi dalam proses pembuatan ini macam-macam pandangan akan diutarakan jadi tunggu dia siap pada 2026 kita akan lihat, sekarang ini bertahan dahulu dan macam hari ini kita tambah timbunan batu untuk menyelamatkan sebuah rumah dan sebuah surau di Pengkalan Maras,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas mengadakan lawatan di pantai Maras Batu Rakit berkaitan berlakunya hakisan pantai, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail.

Dalam pada itu Shafizi berkata, pihaknya mengambil cakna dengan kebimbangan orang ramai yang melihat hakisan itu saban tahun semakin ketara dan kian meruncing.

“Ia telah berlaku sekian lama dan sekarang ini sangat berat sehingga menghampiri jalan, kerana itu Pusat Khidmat Masyarakat kerap buat pemantauan dan telah mengarahkan agar peniaga yang berniaga di sebelah sini berpindah ke seberang jalan,” katanya.

Tegasnya, beliau kerap kali menyuarakan keresahan orang ramai di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana pihaknya tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah melalui peruntukan yang terhad.

“RM90 juta untuk membuat pulau ini sebenarnya tidak cukup dan memerlukan penambahan sebab hakisan ini keterlaluan dan bertambah dari hari ke hari.

“Selain itu dalam sidang DUN baru ini saya juga meminta pandangan daripada pihak kerajaan negeri sama ada projek yang dibuat ini boleh menyelamatkan keadaan ataupun tidak,” ujarnya.