Home Berita PAS Terengganu

Kebajikan, pendidikan agenda utama kerajaan

9
SHARE

KEMAMAN, 1 Jun – Kebajikan rakyat dan pendidikan generasi muda menjadi dua agenda paling utama dalam dasar pentadbiran negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata dasar yang memberi kesan terus kepada rakyat sentiasa menyentuh jiwanya, terutamanya dalam perkara yang mampu meringankan beban hidup rakyat.

“Daripada keseluruhan dasar yang kita rancang, antara perkara terpenting ialah melibatkan inisiatif kebajikan kepada rakyat.

“Untuk meringankan bebanan kepada rakyat, itu ada nilai sentimental kepada saya,” katanya dalam Majlis Bicara Santai Pimpinan semasa program Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) di Padang Astaka, Cukai, di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau, selain kebajikan, inisiatif Pendidikan menjadi perkara kedua untuk membina kehidupan berdikari dan bukan sekadar pemberian sementara.

“Saya lihat, manusia ini kalau kita beri ikan, maka dia bolehlah makan ikan tersebut.

“Tapi kalau kita beri joran kepada dia, maka dia boleh berdikari, kita ajar pula cara nak guna joran itu, akhirnya dia mampu untuk cari ikan sendiri,” jelasnya.

Ahmad Samsuri yakin, pendidikan ialah pelaburan jangka panjang yang akan mencorakkan masa depan rakyat dan negeri.

“Inilah konsep pendidikan kepada rakyat, saya percaya kalau buat begitu, kita menyediakan kehidupan mereka di masa akan datang.

“Mungkin 10 hingga 20 tahun akan datang, anak muda inilah yang akan meneruskan agenda kita di masa kita sudah tiada,” ujarnya.