Home Berita PAS Pahang

Kebajikan dan khidmat PAS Semambu terus ditagih

99
SHARE

Oleh : KASDI KOSMIN

INDERA MAHKOTA, 14 Jul ♦ Kemampuan PAS Semambu telah diperkemaskan dengan penubuhan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) pada awal tahun ini selari dengan matlamat untuk memacu gerak kerja yang lebih tersusun dan sistematik.

Semangat prihatin dan berkebajikan serta sedia berkhidmat telah membara di dalam jiwa pimpinan PAS di DUN Semambu bagi memastikan permasalahan masyarakat diambil perhatian sepenuhnya.

Demikian kata Pengerusi PKM Ustaz Zulfadhli Zakaria ketika mengadakan pertemuan dengan ahli jawatankuasanya di pejabat PKM Indera Mahkota15 Kuantan di sini baru-baru ini.

Namun begitu PKM perlu merangka plan tindakan yang bersepadu bersama-sama dengan cawangan-cawangan yang berada di DUN ini untuk menjayakan agenda tersebut.

“Cabaran besar adalah kekurangan dana untuk membantu mereka yang memerlukan dari sudut kebajikan, kesejahteraan kesihatan dan pendidikan anak-anak bagi golongan yang kurang berkemampuan.

“Setiap cawangan akan mengusahakan pengumpulan dana PKM untuk perbelanjaan yang sering menjadi beban kepada masyarakat.

“Oleh kerana kita belum lagi menang di DUN ini, namun peranan dalam aspek kebajikan dan khidmat kepada masyarakat kita tetap teruskan.

“Walaupun kita tidak ada peruntukan ataupun kewangan daripada mana-mana pihak, kita akan berusaha mencari jalan untuk meneruskan tugas dan tanggungjawab ini agar keberadaan PAS dirasai dan ditagih secara sepenuhnya,” ujar Ustaz Zulfadhli lagi.

Beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda PAS Indera Mahkota, berharap semoga ada individu atau badan korporat yang prihatin dapat bersama dengan PKM Semambu untuk membantu masyarakat.

Beliau sangat menghargai dan berterima kasih di atas segala sokongan dan sumbangan yang telah diberikan kepada PKM, dan berharap agar sokongan dan sumbangan ini akan berterusan.