Home Berita PAS Pahang

Keahlian PAS terus meningkat bukti ia diterima masyarakat

340
SHARE

Oleh: HABSAH ALI

PAYA BESAR, 16 Jan :: Peningkatan keahlian baru parti PAS selepas PRU-15 membuktikan parti itu mendapat sokongan daripada masyarakat.

“Kita menerima lagi borang ahli PAS, kali ini satu kumpulan seramai 45 orang.

“Walaupun kita dilabel dengan berbagai tuduhan tetapi terbukti PAS semakin mendapat sokongan daripada masyarakat,” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya, yang telah menerima borang keahlian tersebut di suatu majlis yang diadakan di sebuah restoran di Bukit Rangin dekat sini kelmarin.

Tambah beliau lagi, masyarakat dapat menilai PAS adalah satu-satunya parti Melayu yang memperjuangkan bangsa Melayu, memperjuangkan Islam dan juga parti yang membawa keharmonian dalam negara.

Penambahan ahli PAS dalam masyarakat dengan sendirinya telah menafikan semua tuduhan, kata-kata buruk yang dilemparkan kepada PAS melalui media sosial.

“Masyarakat tidak terpedaya dengan fitnah dan mainan kata-kata daripada mereka yang membenci PAS.

“Langit dunia terbuka luas, masyarakat boleh akses maklumat dan mereka dapat  menilai dengan lebih jelas parti mana yang sebenarnya memperjuangkan bangsa, agama, dan mampu membina negara, dan tiada yang lebih baik selain daripada parti PAS,” ujar beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang.

Antara pimpinan yang hadir dalam Majlis Penyerahan Borang Keahlian PAS adalah Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Paya Besar, Ustaz Shaharuddin Hussin, Setiausaha PAS Kawasan Paya Besar Azhar Mohd Noor, dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Paya Besar Mohd Fitri Abdullah.