Alhamdulillah, selesai Muktamar Tahunan PAS tempoh hari, saya berangkat ke Iran bagi menghadiri Muktamar Penyatuan Islam Sedunia Kali Ke-38 anjuran Majma’ Taqrib Mazahib yang berlangsung pada 19 – 21 September di Tehran.
Majlis perasmian Muktamar telah disempurnakan oleh Presiden Iran yang baharu, Masoud Pezeshkian yang menekankan perlunya umat Islam menghayati perjuangan Rasullullah yang membawa mesej perpaduan dan keamanan, khususnya dalam suasana umat Islam yang sangat mencabar hari ini.
Saya dan beberapa tetamu diberikan kesempatan untuk menyampaikan ucaptama dalam persidangan yang bertemakan ‘Kerjasama Islam Ke Arah Mencapai Nilai Kebersamaan Bagi Mempertahankan Al-Aqsa’, dan memberikan pandangan terhadap ketegasan dunia Islam dalam mempertahankan Palestin melangkaui perbezaan mazhab dan asabiyah perkauman, seterusnya menggembeling kerjasama dalam kalangan ulama’ untuk membangkitkan kesedaran umat Islam.
Seterusnya saya dijemput menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi Majma’ Taqrib Mazahib di bawah kepimpinan Syeikh Dr. Abdul Hamid al-Shahriari, serta diberikan penghormatan menghadiri majlis bersama Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran Ayatollah Imam Khamenei.
Dalam kesempatan sama, saya turut bertemu rakan-rakan pemimpin gerakan Islam dan ulama’ yang mewakili kelompok Sunni dan Syiah dari Palestin, Iran, Arab Saudi, Turkiye, Rusia, Lubnan, Pakistan, India dan Afghanistan, di samping memenuhi undangan temu ramah dengan beberapa agensi berita antarabangsa.
Semoga usaha penyatuan ini akan menatijahkan kejayaan yang lebih besar kepada dunia Islam dan perjuangan Palestin, berpaksikan kepada tonggak keadilan, keamanan dan perpaduan yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W sebagai jalan penyelesaian.
Insya-Allah destinasi seterusnya, Istanbul. Semoga Allah mengurniakan kesihatan untuk saya menjalankan misi ummah ini.
Abdul Hadi Awang, Tehran.
https://www.instagram.com/p/DAP_3XWogaJ/?igsh=Njh0cGV0ZTVqMzlh