KUALA TERENGGANU – Kadar pertumbuhan ekonomi negeri Terengganu mengalami pertumbuhan di luar jangkaan bagi tahun 2022.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu pada tahun lepas mencatatkan peningkatan sebanyak 5.9 peratus dengan nilai berjumlah RM37.3 bilion.
“Awalnya kita menyasarkan pertumbuhan hanya sekitar 3.5 peratus hingga 4.5 peratus sahaja sebagaiman dibentangkan dalam Belanjawan 2023 pada November lalu.
“Kadar pertumbuhan positif ini menandakan ekonomi negeri kitadalam keadaan sihat dan semakin berkembang,” jelasnya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook miliknya, hari ini.
Menurut Dr. Samsuri, data yang diperolehi sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak yang kononnya ekonomi negeri tidak berkembang sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Tambahnya, subsektor Perdagangan Borong dan Runcit, Penginapan, Makanan dan Minuman serta perkhidmatan kerajaan terus menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan.
“Dalam tempoh lima tahun ini, KDNK kita memperlihatkan trend menaik iaitu 2.5 peratus pada tahun 2018, 3.3 peratus (2019), 3.6 peratus (2021) dan 5.9 peratus pada tahun lepas.
“Ketika pandemik COVID -19 pada tahun 2020, kita mencatatkan penguncupan sebanyak 5.7 peratus akibat impak bencana itu yang menjejaskan ekonomi dunia secara keseluruhannya.
“Justeru, terima kasih kepada semua jentera kerajaan, pihak swasta serta orang awam atas usahasama dalam memulihkan dan mengukuhkan ekonomi negeri ini,” katanya.