KUALA TERENGGANU – Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 4,320 naskah al-Quran tanpa kelulusan dalam Op Mulia yang diadakan bermula awal Ramadan sehingga semalam.
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata nilai rampasan tersebut dianggarkan berjumlah RM250,000 di seluruh negara.
Menurutnya, naskhah dan bahan al-Quran itu dipercayai dicetak serta dibawa masuk dari negara jiran tanpa kelulusan Lembaga Pengawalan dan Perlesanan Percetakan al-Quran KDN.
“Di Terengganu, pelbagai naskhah al-Quran turut dirampas yang tidak mempunyai kelulusan membabitkan nilai RM36,870.
“Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 7(1) dan Seksyen 8(1) Akta Percetakan Teks al-Quran (APTQ) 1986,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang media rampasan Al-Quran dan bahan teks Al-Quran di bawah akta APTQ 1986 dan akta AMCP 1984 bersama setiausaha bahagian penguatkuasaan dan kawalan (PK) bertempat di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan Negeri Terengganu di sini hari ini.
Tambah Nik Yusaimi, modus operandi premis yang diperiksa adalah mereka mengedar dan menjual al-Quran termasuk al-Quran digital sebagai sumber pendapatan utama secara fizikal serta melalui atas talian.
Beliau berkata, hasil risikan yang dijalankan terdapat premis yang sudah beroperasi dan menjalankan perniagaan tanpa perakuan sejak tahun lalu termasuk seorang lelaki yang ditahan di daerah Besut.
Sementara itu, Op Mulia dibuat bertujuan membanteras pengedaran dan penjualan al-Quran serta bahan al-Quran tanpa perakuan yang menyalahi Akta Percetakan Teks al-Quran (APTQ) 1986.
“Amalan membaca al-Quran tanpa kelulusan dibimbangi boleh mengelirukan masyarakat berkaitan sebutan, bacaan dan maksud yang tidak tepat,” katanya.