Oleh AZAHARI B.A.
PAYA BESAR, 28 Ogos : Antara tanggungjawab menjaga alam sekitar ialah mengekalkan kehijauan bumi agar alam ini kekal mesra dengan manusia.
Seluruh ahli masyarakat mesti membina kesedaran ini agar tercapai keinginan kita bersama untuk kembali menikmati alam yang sejahtera.
Demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Panching, YB Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya yang ditemui sejurus selepas menamatkan kayuhan basikal sejauh 35km bersama-sama dengan lebih 200 peserta program Kayuhan Hijau RAS (Rakan Alam Sekitar) dekat sini pagi tadi.
Program tersebut anjuran bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang dengan Pusat Khidmat Masyarakat ADN Panching berlangsung dengan meriah bermula dan berakhir dekat Arena Terbuka Dato’ Sri Abdul Manan, Permatang Badak.
Menurut Mohd Tarmizi, Kayuhan Hijau RAS itu adalah salah satu program simbolik yang menunjukkan kegembiraan kita menghargai alam sekitar yang mesra manusia.
Selain itu turut diadakan acara penanaman beberapa batang anak pokok buah-buahan di taman berdekatan dan juga pengumpulan bahan-bahan elektrik/elektronik terbuang (e-waste).
Turut hadir di sepanjang program ialah Pengarah JAS Pahang, Mohd Sani Mat Daud, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Noor, dan Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat PAS DUN Sungai Lembing, Mohamad Ayub Mat Ashri.