KEMAMAN – Penganjuran Kayak Fishing International Terengganu Challenge 2025 (KFIT2025) di Pantai Teluk Kalong, Kijal berjaya menarik penyertaan peserta dari luar negara termasuk Thailand, Singapura, Brunei dan Laos.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kejohanan tersebut bukan sekadar aktiviti memancing, tetapi satu fenomena yang menggabungkan elemen sukan lasak, rekreasi dan pelancongan.
“Terengganu bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semula jadi, tetapi turut kaya dengan warisan budaya yang unik.
“Kejohanan seperti ini menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan negeri kita kepada dunia,” katanya ketika berucap pada program berkenaan semalam.
Razali berkata, penganjuran itu membuktikan bahawa potensi besar Terengganu sebagai hab pelancongan sukan air bertaraf antarabangsa.
“Ia selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk merancakkan sektor pelancongan melalui penganjuran program berimpak tinggi.
“Saya merakamkan penghargaan kepada GL Kayak Fishing Club selaku penganjur bersama sokongan Pejabat Daerah Kemaman, Tourism Malaysia, serta agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri menyokong penuh penganjuran program sebegini kerana ia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat khususnya kepada peniaga, pengusaha homestay, dan industri pelancongan.
“Saya menjemput para peserta dan pengunjung untuk menikmati pelbagai produk pelancongan dan sajian tradisional negeri seperti Lemang Kijal, nasi dagang, Ikan Celup Tepung (ICT) serta keropok lekor cicoh colek (KLCC).
“Insya-Allah, kejohanan ini menjadi antara acara utama pelancongan sukan negeri dan dijangka terus berkembang sebagai acara tahunan bertaraf antarabangsa,” ujarnya.
Untuk makluman, program tersebut turut diserikan dengan aktiviti sampingan seperti Geng Lipak FMC 3.0, Food Fest dan sesi perkongsian ilmu, menjadikannya bukan sahaja medan pertandingan tetapi juga sebagai platform membina jaringan dan mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan pilihan.