Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menggesa Kerajaan Persekutuan agar mengambil langkah yang tegas terhadap penyiaran kartun Santiago of The Seas yang mempunyai karakter songsang dan mempromosi agenda LGBT secara tidak langsung. Difahamkan kartun tersebut juga ditayangkan setiap minggu di salah sebuah stesen siaran televisyen Kerajaan.
Seharusnya Kerajaan mengambil perhatian yang serius terhadap sebarang penyiaran yang berhubung kait dengan LGBT kerana kita tidak mahu penyakit songsang tersebut dinormalisasi dalam negara, apatah lagi mereka mula menyasarkan kanak-kanak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
DUPP menyarankan agar Kerajaan melakukan saringan yang menyeluruh terhadap penyiaran kartun dari luar negara kerana dibimbangi membawa pengaruh LGBT. Serangan halus kelompok pendukung LGBT ini semakin sukar untuk dikesan dan meresap secara halus ke dalam pemikiran kanak-kanak.
Langkah tersebut adalah strategi jangka panjang untuk merosakkan pemikiran mereka dengan ideologi LGBT sekaligus membentuk komuniti yang akhirnya menerima ideologi tersebut pada masa akan datang. Kebejatan moral sebegini seharusnya menjadi suatu kebimbangan yang perlu dibanteras dengan suatu dasar yang tegas dan tanpa kompromi.
DUPP turut menggesa Kerajaan supaya menumpukan penerbitan kartun dalam negera sebagaimana yang telah ada ketika ini. Sewajarnya kita mengambil langkah selamat berbanding menormalisasi secara tidak langsung sesuatu yang boleh merosakkan kanak-kanak dan masa depan negara.
Sekian.
YB USTAZ DATO’ HAJI MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat.





