Home Berita PAS Wilayah

Karnival Kesihatan Kg. Baru Dekati Penduduk

448
SHARE

Oleh: NUSAIBAH IBRAHIM

TITIWANGSA, 29 April – PAS Zon Kg. Baru telah mengadakan program Karnival Kesihatan di pos panas PAS di Chow Kit pagi tadi.

Program tersebut sebagai usaha mendekati pengundi-pengundi P119-Titiwangsa yang tinggal serta berkunjung di situ, selain usaha penerangan tentang manifesto PAS.

Dalam ucapan perasmian, calon PAS P119, Tn Hj Mohamad Noor Mohamad menyeru para pengundi supaya memberikan kepercayaan kepada PAS untuk menerajui parlimen Titiwangsa pada PRU kali ini.

Katanya, PAS akan pastikan GST dihapuskan, pada masa yang sama berusaha mensejahterakan Titiwangsa daripada jenayah-jenayah yang menggugat ketenteraman masyarakat.

Ujar beliau, penyertaan PAS menerusi calon-calonnya akan membolehkan suara Islam dibawa ke Dewan Rakyat dan agar Islam dilaksanakan dalam pemerintahan.

Karnival kesihatan turut dimeriahkan dengan pertandingan mewarna, dam, gubahan tuala serta cabutan bertuah, di samping khidmat pemeriksaan kesihatan percuma diberikan kepada pengunjung-pengunjung karnival.

Sambutan mengujakan daripada pengunjung-pengunjung bazar Chow Kit serta penduduk setempat menjadikan suasana karnival sangat meriah.