Home Berita PAS Terengganu

Karnival Jom Heboh Terengganu ketengah program keagamaan

44
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri memberi jaminan Karnival Jom Heboh yang bakal berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus pada 7 dan 8 Oktober ini mengetengahkan program berbentuk keagamaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, program anjuran Media Prima Berhad dengan sokongan Kerajaan Terengganu itu bertujuan mempopularkan negeri ini sebagai negeri pelancongan dan pada masa yang sama menawarkan hiburan Islamik yang patuh syariah.

Justeru katanya, orang ramai tidak perlu bimbang penganjuran Jom Heboh Edisi Terengganu ini kerana ia akan dilaksanakan mengikut garis panduan hiburan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

“Sejak semalam, pelbagai aduan diterima kerajaan negeri di media sosial kerana karnival itu diadakan sehari sebelum sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri.

“Di sini, saya tegaskan antara pengisiannya adalah jualan produk dan perkhidmatan usahawan tempatan serta menawarkan hiburan berkonsepkan Islamik dan ilmu melalui penganjuran forum.

“Sebagai contoh, pada malam 7 Oktober diadakan Malam Akustika yang bertajuk ‘Syariat Berdaulat, Negeri Berkat dan pada 8 Oktober pula, Malam Akustika Jalan Cinta Rasul,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena penganjuran program tersebut, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, pada malam-malam akustika tersebut, pengunjung akan disajikan dengan program perkongsian agama dan diselang selikan dengan lagu-lagu ketuhanan oleh penyanyi- penyanyi terkenal tahah air.

“Semua pemilihan artis dan lagu telah diteliti dan diluluskan kerajaan negeri kerana menampilkan lirik yang berunsur ketuhanan,” ujarnya.

Katanya, beliau mengharapkan agar program ini dapat diadakan dalam keadaan terkawal, dan segala persiapan sedang berjalan dengan baik.

“Kita akan adakan pemantauan untuk memastikan karnival ini berjalan lancar termasuk menempatkan penguatkuasa syariah serta petugas sukarela demi menjaga nama baik Negeri Terengganu.

“Pesanan saya juga buat pengunjung yang hadir untuk sentiasa menjaga adab dan tingkah laku supaya tidak menimbulkan sebarang isu yang negatif,” ujarnya.

Ariffin berkata, kerajaan negeri bersikap terbuka dengan sebarang penganjuran berskala besar yang boleh memberi manfaat kepada rakyat negeri ini tetapi dalam masa yang sama tetap mahu menjaga sensitiviti umat Islam agar hiburan tersebut patuh syariah.