KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) menyasarkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung tempatan dan luar Terengganu untuk menghadiri Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) 2024/2025 bermula pada 29 Januari sehingga 1 Disember 2025.
KBTM 2024/2025 yang sedang berlangsung di Mayang Mall, Kuala Terengganu telah disenaraikan sebagai salah satu daripada 25 acara ikonik dalam Kalendar Acara Tahunan (COE) 2025 Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu.
Acara tersebut dijangka menjadi pembuka tirai bagi merancakkan industri pelancongan negeri pada tahun hadapan.
Sepanjang empat hari penganjuran, KBTM menawarkan lebih 30 aktiviti menarik termasuk pelancaran Kalendar Acara Tahunan (COE) 2025, serta lagu tema terbaru Terengganu, “Dok Rilek”.
Selain itu, pengunjung juga dapat menyaksikan persembahan Tunas SUKTRA, pertandingan mewarna, kuiz Kahoot yang disediakan oleh Pusat Sains dan Kreativiti Kuala Terengganu, serta pelbagai aktiviti interaktif lain.
Karnival itu juga menyajikan persembahan seni dan budaya tradisional Terengganu seperti angklung, kertuk ulu, permainan rakyat, dan ‘busking’.
Program keagamaan turut diadakan untuk merayakan warisan budaya negeri. Selain itu, 15 gerai jualan makanan turut disediakan, menjanjikan pengalaman gastronomi yang memukau pengunjung.
Sebanyak lapan daerah dan beberapa agensi swasta turut terlibat dalam karnival ini, menyediakan ruang pameran yang menawarkan aktiviti kreatif, berinformasi, dan interaktif.
Antara agensi-agensi yang mengambil bahagian termasuk Kampung Budaya Terengganu, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), Muzium Negeri Terengganu, Tourism Malaysia Wilayah Timur, dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).
Penganjuran KBTM dijangka memberi impak ekonomi positif kepada komuniti tempatan dengan memperluaskan rantaian ekonomi dan meningkatkan kesedaran tentang keunikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama kepada lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.
Salah satu tarikan utama karnival ini adalah pertandingan lagu “Terengganu Dok Rilek” yang telah menerima penyertaan daripada lebih 30 individu dari seluruh negara.