Home Kenyataan Media PAS Wilayah

KAPITALIS MENGAUM, POLITIKUS MENIKUS

6
SHARE

Kawasan penempatan di Jinjang Selatan yang menempatkan 37 buah keluarga diancam pengusiran selepas Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur mengeluarkan perintah pengosongan pada 9 Sept 2025 yang lalu.

Perintah pengosongan yang meletakkan tarikh 23 Sept 2025 sebagai tarikh akhir bagi penduduk mengosongkan rumah-rumah mereka menimbulkan kegusaran kerana para penduduk tidak memiliki rumah lain untuk didiami selepas pengusiran dilakukan.

Tanah yang didiami oleh 37 buah keluarga cina tersebut sudah berpenghuni semenjak 70 tahun dahulu iaitu sebelum Persekutuan Tanah Melayu mendapatkan kemerdekaan lagi pada tahun 1957.

Tanah mereka berstatus Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) dengan no siri bancian diletakkan di dinding rumah-rumah mereka. Sejarahnya, tanah RTB ini diwujudkan untuk melawan kelompok komunis yang pernah mengancam Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

Selain Kg Baru Cina, tanah RTB adalah kawasan penempatan yang diwujudkan bertujuan melawan pengaruh komunis dan keluarga yang ditempatkan di tanah RTB adalah mereka yang anti-komunis dan pro-kerajaan suatu ketika dahulu.

Sepatutnya mereka dianugerahkan pemilikan penuh dengan jasa yang telah mereka curahkan untuk keselamatan negara suatu ketika dahulu. Bukannya dihalau dan diambil tanah mereka seperti sekarang.

Menurut rancangannya, tanah tersebut akan disewa oleh pihak pemaju bernama Exito Prima Sdn Bhd selama 3 tahun. Namun, umum difahami apabila kapitalis ini masuk ke dalam tanah rakyat, mereka tidak akan keluar dan muslihat baru mesti dicipta untuk mengekalkan mereka disitu.

Penduduk juga tidak mendapat sebarang jaminan untuk pampasan, apatah lagi untuk mendapatkan kediaman ganti bagi rumah mereka sedia ada. Mereka dijanjikan oleh ahli parlimen mereka sendiri pampasan perpindahan RM5k namun langsung tidak diterima sehingga sekarang.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) konsisten menyatakan pendirian kami perihal tanah menurut hukuman Islam. Bagi mereka yang pertama sekali mendiami tanah tersebut dan dapat membuktikannya, maka merekalah yang memiliki hak ke atasnya.

Sepatutnya agensi kerajaan umpama pejabat tanah memberikan budi bicara dan nilai kemanusiaan terhadap mereka. Kerajaan juga boleh membantu dengan memudahkan pemberian geran untuk para penduduk tersebut. Jangan kerana mereka miskin, kerajaan menindas mereka seperti haiwan !

ABDUL RAZAK BIN RAMLI,
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan