KUALA TERENGGANU — Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun 11 bulan maut dipercayai akibat didera bapa kandung dan ibu tirinya dalam kejadian di Kampung Banggol, Manir di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.05 petang di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat pendarahan dalam kepala berpunca daripada hentakan objek tumpul.
Beliau berkata kejadian terbongkar apabila pegawai perubatan Zon Merah HSNZ menerima pesakit tidak sedarkan diri pada 6 Ogos lalu kira-kira jam 1 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada badan, muka dan leher mangsa. Siasatan awal mendapati suspek pertama iaitu bapa kandung berusia 27 tahun dan suspek kedua iaitu ibu tiri berusia 30 tahun mengaku pernah memukul mangsa menggunakan penyangkut baju di bahagian betis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azli, sehari sebelum kejadian mangsa dipercayai jatuh selepas memanjat pagar penyekat pintu bilik namun kembali aktif seperti biasa.
Pada pagi kejadian, bapa mangsa keluar rumah meninggalkan anaknya bersama ibu tiri sebelum pulang sekitar jam 11 pagi dan mendapati mangsa sedang tidur.
Sekitar jam 12 tengah hari, bapa cuba mengejutkan mangsa untuk diberi susu namun mendapati badan anaknya lembik sebelum mengurut leher mangsa dengan alasan mengurut urat sawan, menyebabkan kesan lebam di leher.
Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Manir sebelum dirujuk ke HSNZ untuk rawatan lanjut.
Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami pelbagai kesan lebam, luka melecet serta kecederaan otak yang dipercayai bukan berpunca daripada kemalangan, selain terdapat kesan lebam lama dan baharu pada betis.
Polis turut merampas penyangkut baju berwarna hitam yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. Kedua-dua suspek ditahan pada 10 malam selepas selesai pengurusan jenazah dan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Anak sulung pasangan itu yang berusia tiga tahun diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk jagaan sementara.