KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri sedang berusaha memulihkan semula Kampung Melayu Lama dan Kampung Cina di negeri ini untuk dijadikan sebagai aset pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata pihaknya telah meneliti pelbagai perkara yang perlu ditambah nilai.
Katanya, tinjauan sudah dilakukan di beberapa kampung Melayu Lama sebelum ini dan pada hari ini pihaknya meninjau Kampung Cina.
“Antara perkara yang perlu dititikberatkan adalah kebersihan, keceriaan dan beberapa lagi aspek yang perlu diberi perhatian.
“Dari sudut masa berniaga juga perlu dipanjangkan sehingga jam 12 supaya pengunjung lebih ramai di sesuatu kawasan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri walkabout Kampung Cina bertempat di Pintu Gerbang Kampung Cina di sini hari ini.
Dalam tinjauan tersebut, Razali berkata pihaknya juga mengadakan perbincangan dengan beberapa NGO untuk menjalankan program bagi memeriahkan kawasan berkenaan.
“Supaya peniaga di sini dapat berniaga sehingga pukul 12 malam dengan adanya orang datang.
“Selain itu, antara perkara yang perlu diberi tumpuan adalah kebersihan yang merupakan perkara pokok dalam pelancongan.
“Kebersihan juga tidak terletak kepada penguatkuasaan sahaja tapi komuniti juga perlu memberi peranan,” ujarnya.