KUALA TERENGGANU – Kampung Cina kekal sebagai Kampung Cina bukan ‘China Town’ sepertimana persepsi yang wujud ekoran berita yang tular baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata laporan tersebut disalah erti oleh beberapa pihak akibat penggunaan perkataan penjenamaan.
Katanya, pertukaran nama Kampung Cina ke ‘China Town’ tidak berbangkit, sebaliknya yang dimaksudkan beliau adalah penambahan elemen-elemen lain bagi membolehkan Kampung Cina tersenarai dalam ‘China Town’ peringkat global.
“Istilah tersebut hanyalah penambah nilai sepertimana tertulis ‘China Town’ pada pintu gerbang di Kampung Cina berkenaan.
“Sebenarnya saya mengatakan dalam perbincangan bahawa kita cuba bincang dengan NGO-NGO supaya ‘China Town’ (Kampung Cina) ini berada dalam senarai China Town di seluruh dunia.
“Hal ini supaya dapat menarik lebih ramai pelancong asing ke Terengganu di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri walkabout Kampung Cina bertempat di Pintu Gerbang Kampung Cina di sini hari ini.
Tambah Razali, pihaknya sedaya upaya mahu mengangkat kebudayaan cina peranakan Terengganu di Kampung Cina.
“Jika ada program di pintu gerbang yang menulis ‘China Town’ itu melibatkan NGO.
“Perkara tersebut tidak perlu disabitkan kerajaan negeri mengenai isu pertukaran nama atau sebaliknya.
“Dari sudut gazet nama dari kerajaan negeri tidak akan menukar Kampung Cina kepada ‘China Town’.
“Bagi NGO-NGO atau penggiat pelancongan yang ingin melakukan promosi jenama ‘China Town’ sepertimana yang terpampang di pintu gerbang itu adalah hak mereka.
“Kerajaan Negeri tidak akan melakukan perkara sedemikian dan akan terus mengekalkan nama Kampung Cina,” ujarnya.