Bukit Bintang, 22 September – PAS Bukit Bintang dengan kerjasama Surau Nur Iman, Sg Besi dengan jayanya melaksanakan program Kami Prihatin Kesihatan Anda bertempat di Surau Nur Iman. Program tersebut mendapat sambutan yang sangat baik daripada pihak penduduk dan kehadiran melebihi daripada jangkaan.
Bermula seawal 8.30 pagi program bermula dengan pemeriksaan kesihatan secara percuma seperti pemeriksaan mata, darah tinggi dan kencing manis. Selain itu, pertandingan Bayblade untuk kanak-kanak juga turut diadakan dengan penyertaan seramai 44 orang yang terdiri daripada anak kariah. Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya mengumpul seramai 200 orang yang terdiri daripada penduduk setempat. Ais krim percuma juga turut disediakan kepada para pengunjung.
Lebih istimewa, program ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran tetamu istimewa iaitu Tuan Haji Abu Baker Sidek, selaku Pengerusi Lujnah Kebajikan, Kemasyarakatan & Kesihatan, Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan. Turut bersama hadir ialah Tuan Haji Azemi Azman, Yang Dipertua PAS Bukit Bintang dan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Tuan Mohamad Rashidi Abd Razak, serta isterinya sebagai sokongan pada program yang dijalankan.
Pertandingan Bayblade selesai sekitar jam 12.00 tengahari, dan acara penyampaian hadiah iaitu hamper beserta wang tunai disampaikan kepada pemenang. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengerusi Surau Nur Iman bersama Ketua Pemuda PAS WP. Program tamat dengan jamuan makan tengahari kepada semua penduduk kira-kira jam 12.30.
PAS Kawasan Bukit Bintang menzahirkan jutaan terima kasih kepada Pengerusi Surau Nur Iman serta seluruh Jawatankuasanya di atas kerjasama terbaik yang diberikan bagi memastikan program dapat dilaksanakan dengan jayanya serta mengeratkan silaturrahim antara PAS Kawasan Bukit Bintang bersama penduduk setempat.
PAS Bukit Bintang pada masa akan datang akan melaksanakan lagi program-program yang berbentuk kemasyarakatan dan melibatkan para penduduk di Parlimen Bukit Bintang sebagai usaha bagi memperkenalkan PAS serta dapat mengeratkan silaturrahim dengan masyarakat setempat sebagaimana dianjurkan oleh Islam.