KUALA TERENGGANU – Sedih dan pilu, itulah perasaan para sahabat kepada penuntut- penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menjadi mangsa nahas dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak awal pagi kelmarin.
Menerusi satu hantaran di laman Tik Tok, sahabat sekampus yang menggunakan nama adillamohdnr melahirkan kepiluan apabila menziarahi pusara arwah Nur Ainul Qistina Mat Ali.
“Qis kami datang dari UPSI untuk tatap awak buat kali terakhir.
“Tapi kami hanya dapat tatap ‘rumah baru’ awak je Qis.
“Semoga awak tenang di alam sana, kami sentiasa merindui awak,” ujarnya.
Dia yang merupakan teman sebilik arwah menyifatkannya seorang sahabat yang sangat baik sepanjang mereka bersama-sama belajar di UPSI.
“Terima kasih kerana menjadi ‘room mate’ yang sangat baik, sangat suka bercerita dan menjadi bahu tempat saya bersandar.
“Nanti kita lagi okey sayang saya,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 1.10 pagi di JRTB berdekatan Tasik Banding, Gerik, 15 pelajar UPSI maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas sewa khas yang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu menuju ke kampus universiti di Tanjung Malim, Perak.