Home Minda Presiden

Kalau Kehakiman Bangun Menari, Yang Lain Kencing Berlari?

707 views
SHARE


Minda Presiden PAS

 KALAU KEHAKIMAN BANGUN MENARI, YANG LAIN KENCING BERLARI?


 

Cerita beberapa tokoh besar Badan Kehakiman Negara bertari-menari diviralkan menjadi tatapan umum. Ramai yang telah membuat kenyataan pro dan kontra mengikut sudut pandang masing-masing, tetapi hanya sekadar pandangan selapis sahaja tanpa merujuk kepada lebih jauh dan mendalam yang berlapis-lapis.

 

Sepatutnya perlu mengambil kira kepada asas hubungan yang dihormati oleh masyarakat majmuk yang menganut pelbagai agama dan diiktiraf di dalam Perlembagaan. Begitu juga hendaklah mengambil kira pelbagai budaya kaum berlainan yang tetap bermoral ketimuran.

 

Tanpa membicarakan soal halal dan haram mengikut agama masing-masing dan budaya berbeza yang perlu dihormati sempadannya. Maka menjaga kehormatan dan sensitiviti yang menjadi titik persamaan wajib dipelihara supaya kita tidak menjadi masyarakat caca marba tanpa akal yang sebenarnya bijak bukan sahaja arif ilmunya, tetapi juga maruah yang dijunjung oleh semua agama yang dianut oleh pelbagai bangsa yang menjadi warganegara yang sah. Pedulikan kalangan yang menganggap dirinya tidak beragama dan tidak berjiwa bangsa.

 

Tidakkah telah dipahat dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan dan hak diberi kepada penganut pelbagai agama? Adakah cara tari-menari yang dipaparkan itu mengambil kira hubungan beragama Islam, Buddha, Hindu dan Kristian atau menepati budaya mana-mana kaum yang menjadi rakyat terpenting bagi negara Malaysia ini?

 

Walaupun masing-masing punya kebebasan dan hak mengaku agamanya sahaja yang benar biarpun adanya perbezaan dan wajib yakin bahawa agamanya sahaja paling tinggi dan mulia tanpa melangkah batas kebebasan yang sewajarnya. Namun, tetap ada titik persamaan moral dan menjaga maruah yang bersifat naluri kemanusiaan perlu diambil kira. Jangan sekali-kali melayan kalangan yang melompat keluar tabii manusia bermasyarakat madani.

 

Secara umum, jawatan penting negara wajib dilantik bukan sahaja yang berilmu dan diambil kira pengaruhnya, bahkan wajib punya kehebatan integriti yang tinggi dan bermaruah mulia.

 

Walaupun melakukan perkara yang menjatuhkan maruah itu ada yang dihalalkan oleh beberapa agama bukan Islam, seperti mabuk arak atau suka berjenaka sepanjang masa di tengah khalayak ramai, namun kalau melakukannya tetap dikira dan dianggap rendah maruahnya sehingga menjadi seseorang itu tidak dihormati dan disegani oleh penganut agama dan bangsanya sendiri, maka hendaklah dihindari.

 

Kita menyaksikan perlantikan jawatan penting seperti Menteri Kabinet, Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan lain-lain jawatan penting di negara Barat yang paling maju, ditapis secara khusus oleh komiti yang dilantik oleh badan tertinggi sehingga dibangkit perangainya di masa sekolah lagi untuk diluluskan jawatannya kerana mereka juga mengambil kira perkara maruah, bukan sahaja integriti yang longgar takrifnya.

 

Barat yang telah merudum moralnya tetap menjaga tahap kehormatan, maruah dan integriti sesiapa yang memegang jawatan yang penting, tiba-tiba kita yang kononnya sangat bergurukan Barat itu meninggalkan konsep jati diri bangsa Timur yang sangat berakhlak dan bermaruah ini yang wajib dipertahankan bersama.  

 

Tujuan melantik di kalangan yang tinggi maruah dan integriti itu kerana perlukan kehormatan masyarakat umum, kehebatan syakhsiah dan boleh diberi kepercayaan menegakkan konsep keadilan secara istiqamah dan konsisten di atas jalan yang betul dan cara yang tepat serta keputusannya dipercayai dan dihormati.

 

Pelantikan bukan sahaja dilihat dari sudut kelayakan ilmunya sehingga ke taraf gelaran yang arif lagi bijaksana, bahkan integriti dan maruahnya juga disebut yang mulia kerana dihormati ketinggian akhlak dan maruahnya, selain beriman, budiman dan ilmuan. Arifnya sahaja tidak berharga, kalau maruahnya tidak budiman, dihormati dan disegani oleh masyarakat umum.

 

Jawatan yang wajib ditugaskan kepada seorang yang sangat dihormati oleh masyarakat kerana ketinggian budi pekerti, budi bicara dan gaya hidupnya, jika sekadar ilmu dan pengaruh lahiriahnya sahaja tidak mencukupi bagi menjadi seseorang itu paling dihormati keputusannya, maka aspek spiritual sangat penting dalam perhitungan yang diberi jawatan dalam memilih sesiapa yang memegang jawatan terhormat.

 

Taraf seorang Peguam Negara, atau hakim tidak sama dengan taraf seniman. Orang tidak berkata apa, kalau yang menari itu seniman, apatah lagi kalau bidangnya seni tari, tetapi kalau yang menari itu Ketua Hakim Negara atau Peguam Negara, apatah lagi yang sudah tua hampir bersara atau sudah bersara akan dibandingkan dengan pepatah Melayu laksana kera kena belacan.

 

Kita wajib sedar di mana bumi kita berpijak, di bumi Malaysia yang bersifat seni ketimuran agama dan budayanya. Kalau yang tua berada di England atau Amerika pun malu untuk menari dalam usianya yang tua, maka janganlah kita lebih Barat daripada Barat. Hatta masyarakat Barat yang bebas juga tidak mengizinkan sesiapa yang dipertanggungjawab membuat keputusan yang adil dan telus terhadap masyarakat berhubung sebebas-bebasnya dengan masyarakat umum yang boleh mempengaruhi kewibawaannya secara adil dan telus.

 

Jika keadaan ini berlaku di Barat, sudah pasti akan ada yang meletakkan jawatan. Persoalannya, adakah kita akan menyaksikan hal yang sama di negara kita yang sangat tinggi nilai budaya dan tatasusila?

 

“Islam Memimpin”

 

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS   
Bertarikh: 17 Jamadilawal 1440H / 23 Januari 2019M