KUALA TERENGGANU – Selaras titah DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga DUN ke-15, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman mengusulkan kerajaan negeri menguruskan peninggalan perlombongan secara bijak yang amat berpotensi, bukan sahaja sebagai tapak warisan tetapi juga sebagai tapak sumber baharu seperti Rare Earth Elements (REE).
“Kajian menyeluruh dan penglibatan komuniti setempat amat penting agar hasil bumi ini memberi manfaat kepada penduduk, bukan menjejaskan alam sekitar yang seharusnya dijaga dipelihara dengan baik.
“Kawasan bekas perlombongan yang boleh dijadikan tarikan sejarah dan eko pelancongan juga diberi tumpuan seperti Tasik Puteri Bukit Besi.
“Bukit Besi menyimpan sejarah penting sebagai pusat perlombongan bijih besi terbesar di Asia Tenggara sekitar tahun 1920 hingga 1970-an.
“Lokasi seperti Laluan Rel Lama, terowong tinggalan lombong, dan kawasan perkampungan bekas pekerja lombong boleh dibangunkan sebagai produk pelancongan warisan dan pendidikan,” katanya dalam ucapan perbahasan titah di Wisma Darul Iman, hari ini.
Jelasnya, pelaburan dan kemudahan asas serta promosi pelancongan lestari perlu ditingkatkan agar memberi limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan sekali gus membuka ruang serta peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan muda.
“Dalam masa sama, saya turut menyambut baik cadangan pembinaan yang melibatkan tenaga solar & hidro di Hulu Dungun yang diketahui umum berada jauh dari bandar.
“Ia bukan sahaja menjimatkan kos malah menyokong usaha kelestarian alam sekitar,” katanya.