Home Berita PAS Pahang

Kafe bar cemari Pantai Batu Hitam, abai sensitiviti umat Islam – Andansura

66
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

KUANTAN, 19 Ogo – Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB Dato’ Andansura Rabu menyuarakan bantahan terhadap kewujudan sebuah kafe berkonsep bar di Pantai Batu Hitam yang didakwa mencemari kedamaian kawasan itu dan mengabaikan sensitiviti umat Islam.

Andansura menyuarakan perkara itu melalui laman sosialnya pada hari ini selepas menerima banyak aduan daripada penduduk dan pengunjung mengenai gangguan bunyi bising serta penjualan minuman keras secara terbuka di premis berkenaan.

“Aduan melalui pesanan whatsApp telah saya panjangkan kepada pihak berkuasa, namun tiada sebarang maklum balas,” katanya.

Beliau berkata, dua minggu lalu pihak polis melakukan pemeriksaan selepas rungutan awam dimajukan kepada Balai Polis Beserah, namun kafe itu dilaporkan mempunyai permit sah meskipun syarat penjualan arak tidak jelas.

“Muzik kuat setiap hujung minggu bukan sahaja mengganggu penduduk, malah menjejaskan pengusaha perniagaan sekitar, penginap resort bersebelahan dan pengunjung pantai,” ujarnya.

Andansura menegaskan konsep ‘beach café’ yang dibawa premis itu mungkin kelihatan menarik, namun tidak sepatutnya diganggu dengan hiburan melampau atau jualan arak.

Beliau turut mempersoalkan status penyediaan makanan kerana difahamkan premis itu dikunjungi pelanggan muslim sedangkan ia diusahakan pengusaha bukan muslim.

“Saya menggesa pihak berkuasa melarang jualan arak, hentikan aktiviti hiburan bising serta meneliti status makanan yang disediakan,” tegasnya.