KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menetapkan kadar zakat fitrah bagi umat Islam tidak kurang RM10 dan RM21 seorang pada tahun ini.
Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, penetapan dua kadar bayaran zakat fitrah itu adalah mengikut jenis beras yang dimakan setiap hari.
“Kategori pertama ialah tidak kurang RM10 bagi mereka yang menggunakan beras tempatan biasa.
“Ini berdasarkan harga jualan beras fitrah bagi gred pertengahan iaitu jenis Beras Super Import @ Beras Siam dijual dengan kadar RM10.00 segantang atau RM2.60 sekilogram mengikut harga purata beras.
“Manakala kadar zakat fitrah bagi individu yang menggunakan beras premium seperti Basmathi pula ialah RM21 seorang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Agihan Bantuan Zakat Asnaf Fakir Miskin Sempena Ramadan Tahun 1446H/2025M di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan seramai 998 amil zakat dilantik di seluruh Terengganu sepanjang Ramadan tahun ini bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah.
Sementara itu, seramai 28, 829 penerima bantuan zakat sempena Ramadan kali ini melibatkan peruntukan sebanyak RM15,493,100.