Home Berita PAS Terengganu

Kadar pengangguran Terengganu turun ke 3.6 peratus

38
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kadar pengangguran di Terengganu mencatat penurunan kepada 3.6 peratus tahun lalu berbanding 4 peratus tahun sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata kadar itu bukan sahaja lebih rendah berbanding paras nasional iaitu 3.9 peratus malah lebih baik ketika pembentangan Belanjawan 2023 pada November tahun lalu iaitu antara 3.7 peratus hingga 3.9 peratus.

Kerajaan negeri katanya melaksanakan tiga strategi penting menerusi Urus Setia Pekerjaan Negeri (UPNT) yang turut dianggotai Terengganu Human Resource Development Centre (THRDC) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Strategi pertama adalah memasarkan maklumat pekerjaan dengan lebih meluas terutama kepada pencari kerja graduan dan belia.

“Ini termasuk mendaftarkan pencari kerja dan majikan dalam satu ekosistem iaitu ‘MYFutureJobs’ dan membangunkan Sistem Maklumat Pekerjaan Akar Umbi (SAMPAI),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen ke-5 Terengganu Skills Development Centre (TESDEC) di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini semalam

Turut hadir Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TESDEC Sendirian Berhad, Sulaiman Sulong, Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC, Mohd Iskandar Muhammad Aziz, Pengerusi Lembaga Pengelola Kolej TESDEC, Prof Madya Dr Berhanundin Abdullah, dan Ketua Eksekutif Kolej TESDEC, Encik Mat Azam Husain.

Tambah Wan Sukairi, Strategi kedua pula menurut adalah menghubungkan pencari kerja dengan pihak industri atau bakal majikan dan menganjurkan program pemadanan pekerjaan di peringkat daerah dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Manakala stategi ketiga adalah dengan meningkat kebolehkerjaan dan kebolehpasaran pencari kerja, mengadakan program ‘career grooming’, membimbing penyediaan resume, membangun kemahiran insani dan kemahiran teknikal yang berkaitan pekerjaan,” katanya.

Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam seterusnya berkata semua inisiatif tersebut adalah untuk memastikan setiap graduan mendapat ruang dan peluang yang sama dalam mendapatkan pekerjaan sekali gus memperoleh pendapatan yang akhirnya mengubah landskap ekonomi dan sosial di negeri Terengganu.

“Saya tahu cabarannya besar, namun saya lebih percayakan bakat dan potensi yang ada pada kita semua rakyat Terengganu,” ujarnya lagi.