Home Berita PAS Terengganu

Jumlah mangsa banjir Seberang Takir meningkat

21
SHARE

KUALA NERUS – Berikutan hujan lebat yang berterusan, jumlah mangsa banjir di Seberang Takir terus meningkat.

Pengerusi JPKK Pak Tijah, Zainal Lasim memaklumkan sejumlah 300 orang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) SK Tok Jembal setakat jam 8 pagi tadi, berbanding 154 orang semalam manakala di beberapa PPS lain juga berlaku pertambahan.

“Waspada dengan keadaan cuaca monsun timur laut yang dan percaya keadaan yang lebih teruk berlaku jika ‘trend’ hujan ini berterusan.

“Ketika ini pihak Tenaga Nasional Berhad tidak memutuskan bekalan kerana pencawang elektrik berada di tempat tinggi namun sentiasa berjaga-jaga dengan segala kemungkinan,” ujarnya ketika ditemui di PPS SK Tok Jembal selepas Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengunjungi PPS tersebut hari ini.

Seorang mangsa banjir, Rohani Abu Bakar ketika ditemui berkata, persediaan menghadapi banjir tahun ini lebih awal dari tahun-tahun lepas dan tahun ini adalah paling teruk.

“Tidak sangka, dulu taman ini sekitar 80 buah rumah sahaja dimasuki air tetapi banjir kali hampir 200 buah terlibat dan tidak dapat menggunakan bilik air serta tandas,” katanya.

Sementara itu Guru Besar SK Teluk Ketapang, Rosita Ahmad berkata,murid-murid yang bersekolah akan ditempatkan sementara di dalam makmal bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir.

“PPS di SK ini juga berlaku pertambahan iaitu 40 orang berbanding 16 orang semalam,” tambahnya.