Oleh : HABSAH ALI
INDERA MAHKOTA, 20 Jun – Tiga langkah utama kerajaan yang dijangka bermula seawal Julai ini iaitu kenaikan tarif elektrik, peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), serta rasionalisasi subsidi petrol RON95, kini mencetus kebimbangan luas dalam kalangan rakyat apabila kesemuanya berpotensi menekan kos sara hidup.
Menurut Ahli Dewan Negeri Beserah YB Dato’ Haji Andansura Rabu, ketiga-tiga langkah ini jika digabungkan akan membawa kesan rantaian yang tidak dapat dielakkan terhadap kehidupan harian rakyat.
“Kita bimbang akan berlaku kesan rantaian yang tidak dapat dielakkan, dan rakyatlah yang akan menanggung beban itu,” katanya.
Langkah-langkah tersebut katanya telah diumumkan secara berperingkat melalui pembentangan Belanjawan 2024, kenyataan Kementerian Ekonomi serta pengumuman Menteri Kewangan sendiri, menandakan permulaan dasar fiskal lebih ketat yang bakal dilaksana dalam separuh kedua tahun ini.
“Kerajaan dijangka menaikkan tarif elektrik sekitar 14 peratus bermula Julai ini, manakala peluasan skop SST pula akan melonjakkan jumlah barangan dan perkhidmatan yang dicukai daripada kurang 1,000 kepada lebih 4,000, peningkatan melebihi 300 peratus. Pada masa yang sama, bilangan barangan tidak dicukai pula dijangka berkurang daripada lebih 5,000 kepada kurang 2,000 iaitu penurunan sekitar 65 peratus.
“Walaupun kerajaan menyatakan barang asas tidak akan dikenakan cukai SST, tetapi senarai barangan yang terlibat terlalu banyak. Kebimbangan rakyat adalah berasas,” ujar beliau lagi dalam satu kenyataan di media sosialnya baru-baru ini.
YB Dato’ Andansura turut menyentuh isu subsidi petrol RON95 yang dijangka mula dirasionalisasi dalam tempoh Julai hingga Disember tahun ini, walaupun tarikhnya belum dimuktamadkan secara rasmi.
“Kenyataan yang berbolak-balik daripada Menteri Kewangan sangat mengecewakan, seolah-olah tiada pertimbangan yang jelas,” katanya, sambil mempersoalkan sama ada sistem PADU akan digunakan atau telah diketepikan.
Beliau turut menempelak sikap kerajaan yang dilihat cuba melepaskan tanggungjawab ke bahu rakyat. “Apakah kerajaan sudah kehabisan ikhtiar untuk menjaga rakyat, lalu melepaskan beban itu kepada rakyat untuk menjaga diri sendiri?” soalnya.
Beliau menutup kenyataannya dengan menasihatkan kerajaan supaya mengkaji semula semua langkah tersebut sebelum Julai menjelang.
“Kerajaan masih ada masa untuk ‘u-turn’, bukankah sudah banyak janji manis yang pernah mereka ‘u-turn’ sebelum ini?” tanyanya lagi.