Home Berita PAS Terengganu

Juara dunia, Brunei tambah sengat TIEP Tug Of War

5
SHARE

SETIU – Blue Tiger, pasukan daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang menjuarai Kuala Lumpur International Tug Of War Club Championships (Kejohanan Kelab Dunia) edisi tahun lalu, akan mempanerkan taringnya dalam Karnival Terengganu International Endurance Park (TIEP) 2025, hari ini.

Juara dunia itu bakal bersaing dengan sembilan lagi pasukan dari seluruh negara termasuk Chainblock Tugger, juara zon Borneo dari negara Brunei Darussalam.

Ketua Teknikal kejohanan, Zolkefli Ahmat berkata, kehadiran pasukan-pasukan ternama dalam negara dalam kejohanan Tug Of War kali ini menunjukkan potensi perkembangan sukan itu di pantai timur.

“Ini yang saya harapkan, kalau kita hendak naikkan sukan ini perlu dan penglibatan pasukan luar.

“Kalau pasukan bertaraf negara seperti Brunei turun ke kejohanan sebegini, maknanya mereka melihat Terengganu ini ada sesuatu yang istimewa.

“Apa yang saya harapkan selepas ini, pihak penganjur dapat menambah hadiah kejohanan dan kategori pertandingan untuk menarik lebih banyak pasukan serta menaikkan prestij kejohanan,” katanya.

Beliau turut melihat penganjuran kejohanan Tug Of War dalam Karnival TIEP yang diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Hari Keputeraan DYMM Sultan Terengganu ini dapat mencetuskan fenomena baru sukan itu di kalangan rakyat.

Perlawanan pertama antara Blue Tiger dan Chainblock Tugger disaksikan oleh Exco Sukan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim
​​​​​

“Saya berharap kejohanan ini jadi platform sukan tarik tali untuk berkembang maju dan semoga Terengganu menjadi pencetus bagi zon pantai timur,” katanya.