DUNGUN – Dalam usaha membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin menghimpit, Kelab Usahawan Parlimen Dungun (NGO) menganjurkan program jualan ayam dan beras pada harga rendah khusus untuk golongan yang memerlukan.
Penasihat Kelab Usahawan Parlimen Dungun, Siti Zaliha Mohd, berkata program berkenaan bukan sahaja bertujuan mengurangkan beban pengguna, malah menggalakkan semangat solidariti dalam kalangan masyarakat.
Katanya, program itu menerima sambutan hangat daripada penduduk setempat, dengan ramai hadir sejak awal pagi untuk mendapatkan bekalan asas pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
“Inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam membantu rakyat berdepan kenaikan harga barangan harian.
“Ini antara ikhtiar kami supaya tiada keluarga terputus bekalan makanan asas.
“Insya-Allah, program seperti ini akan diadakan setiap bulan,” katanya.
Bagi memastikan bantuan diagihkan secara adil, jualan ini dihadkan kepada 100 penerima sahaja, yang dipilih berdasarkan keperluan sebenar.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli turut menyumbang sebahagian dana bagi menampung kos, sekali gus membantu menurunkan harga jualan untuk rakyat.
Penduduk yang ditemui melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas usaha tersebut, yang dianggap sangat membantu terutama keluarga berpendapatan rendah.
Orang ramai berharap agar program seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke kawasan lain supaya lebih ramai rakyat mendapat manfaatnya.