Home Berita PAS Pahang

Juadah Makmur RM8.5 juta capai sasaran sebenar?

151
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

Kuantan, 5 Dis – ADN Sungai Lembing, Mohamad Ayub Mat Ashri dalam satu sidang media Perikatan Nasional, menjelaskan bahawa beliau tidak menentang program Juadah Makmur yang diperkenalkan Kerajaan negeri, tetapi menegur cara peruntukan RM8.5 juta digunakan untuk program tersebut di sini semalam.

“Saya ingin membetulkan persepsi yang diputarbelitkan terhadap kenyataan saya. Saya tidak menentang program Juadah Makmur, tetapi saya membangkitkan isu bagaimana duit rakyat digunakan dalam program itu. Kerajaan hari ini sering bercakap tentang agihan belanjawan secara bersasar, jadi saya berpendapat peruntukan sebegitu besar perlu lebih difokuskan kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Beliau menegaskan, berdasarkan pemerhatian beliau, majoriti penerima juadah itu semasa solat Jumaat tidak memerlukannya. “Sebagai contoh, saya sendiri ketika solat Jumaat menerima juadah itu. Jika saya tidak ambil, orang kata YB sombong, tetapi jika saya ambil, saya sendiri tidak memerlukan juadah itu. Saya yakin 70-90% mereka yang menerima juadah itu juga tidak memerlukannya,” jelasnya.

Beliau mencadangkan agar program seumpama itu dibiayai oleh dana peribadi pemimpin, termasuk Menteri Besar dan ahli-ahli Exco, jika mereka benar-benar mahu melaksanakannya. “Jika mereka mahu guna duit peribadi untuk beri sarapan, makan tengah hari, makan malam di semua masjid seluruh negeri Pahang setiap hari, saya sangat setuju. Itu boleh jadi langkah yang lebih baik untuk menarik orang ke masjid, bukan hanya untuk solat Jumaat tetapi juga untuk solat fardhu lima waktu,” katanya.

Ayub turut menekankan kepentingan memahami realiti hidup rakyat, khususnya golongan B40 dan masyarakat Felda yang berpendapatan rendah. “Sebagai anak Felda, saya faham keadaan rakyat. Dengan gaji minimum RM1,700, mereka perlu menyara keluarga, membayar bil, dan membeli keperluan harian. Keadaan ini sangat mencabar,” tambahnya.

Beliau mencadangkan agar peruntukan tersebut digunakan secara lebih bersasar, seperti melalui pembangkang yang lebih dekat dengan rakyat. “Kami tahu siapa yang benar-benar memerlukan bantuan. Contohnya, jika seseorang datang ke masjid, bantuan boleh diberikan berdasarkan keperluan sebenar keluarga mereka. Kita juga perlu memastikan bantuan ini tidak menjadi rebutan, termasuk oleh warga asing,” jelasnya lagi.

Ayub turut menyuarakan kebimbangan mengenai ketidakselarasan dalam dasar kerajaan. “Jika kita bersetuju memberi kepada warga asing, kenapa subsidi kepada rakyat sendiri ditarik? Duit rakyat perlu diurus dengan cekap dan adil supaya sampai kepada mereka yang layak,” katanya.

Beliau menutup kenyataan dengan menegaskan bahawa isu ini bukan soal menolak sedekah, tetapi memastikan wang rakyat digunakan dengan cara yang paling memberi manfaat kepada rakyat. “Ini adalah hasil cukai dan hasil bumi kita. Sebagai wakil rakyat, tanggungjawab kita adalah memastikan ia digunakan secara terbaik untuk rakyat,” tegasnya.

Sidang media tersebut berlangsung dalam suasana yang tertib dan mendapat perhatian media tempatan dan nasional.