Dihari Jumaat yang penuh barakah ini, sukarelawan MaarufCare termasuk Kak Mas dan Mak Jah meneruskan rutin mingguan Program Juadah Jumaat Barakah disekitar Taman Greenwood, Taman Selaseh, Taman Desa Minang, Taman Samudera dan Taman Seri Gombak.
Menurut laporan, seramai lebih kurang 60 orang yang telah disantuni ini termasuk mereka daripada kalangan ibu tunggal, pengawal keselamatan dan juga ‘rider’ pengantar makanan. Menurut salah seorang sukarelawan MaarufCare, yang paling menarik perhatian mereka adalah para ‘riders’ yang terdiri daripada anak-anak muda yang gigih mencari rezeki.
Daripada temubual dengan para ‘riders’ tersebut, sukarelawan MaarufCare mendapati bahawa kebanyakan daripada mereka sudah berkeluarga. “Mereka sungguh terharu, kerana dihargai disaat sedang bertugas mengejar ganjaran”, jelas mereka.
“Sukarelawan juga tidak lupa mengingatkan mereka, melaksanakan tugas dengan baik dan jangan lupa Allah, dalam kesibukan mencari rezeki”. “Mereka sangat berterima kasih atas ingatan tersebut dan mendoakan kesejahteraan para penyumbang dan petugas”, sambung sukarelawan MaarufCare lagi.
MaarufCARE telah mempelbagaikan kaedah sumbangan kepada para penerima daripada pelbagai kategori tanpa mengira warna kulit dan latar belakang. Semoga para penyumbang yang budiman akan merasa puas hati dengan aktiviti yang dilakukan agar kita sama-sama berpeluang meraih redha Allah SWT.