Home Berita PAS Terengganu

JPS kenal pasti 449 kawasan ‘Hotspot’ Banjir di Terengganu

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 449 kawasan ‘hotspot’ banjir di Terengganu sudah dikenal pasti sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata
kawasan ‘hotspot’ itu dikenal pasti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membolehkan persediaan dan perancangan awal dapat dilakukan sebelum bencana banjir berlaku.

Menurutnya, dijangka terdapat lima hingga tujuh luruan monsun membawa episod hujan yang lebat dan berterusan terutama di Pantai Timur Semenanjung

“Daerah Kuala Terengganu merekodkan jumlah kawasan berisiko tertinggi iaitu sebanyak 97 lokasi diikuti daerah Hulu Terengganu (66 kawasan).

“Manakala di Setiu (58 kawasan), Dungun (56) kawasan), Kemaman (55 kawasan), Kuala Nerus (48 kawasan), Marang (35 kawasan) dan Besut (34 kawasan),” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman.

Justeru itu katanya, kerajaan negeri telah mengarahkan setiap aset, logistik dan sistem amaran awal bencana diperiksa agar berfungsi dengan baik sebagai persediaan awal.

Menurut beliau, beberapa pelan tindakan juga telah dibincangkan menerusi Mesyuarat Penyelarasan Persediaan Menghadapi MTL, baru-baru ini.

Tambah Hanafiah, kawasan rendah dan berhampiran muara sungai di negeri ini turut dikenalpasti berisiko berlakunya dilimpahi air sekiranya fenomena air pasang besar beserta hujan lebat.

“Ia membabitkan lima lembangan sungai iaitu Sungai Terengganu, Sungai Besut, Sungai Dungun, Sungai Kemaman dan Sungai Setiu.

“Daerah Hulu Terengganu juga dijangkakan berisiko tinggi berlaku banjir selain daerah Kuala Terengganu, Besut, Setiu, dan Kemaman,” ujarnya.

Beliau seterusnya menasihatkan penduduk di kawasan berisiko banjir agar segera berpindah ke pusat pemindahan sementara apabila hujan lebat melebihi tempoh dua jam bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan monsun timur laut akan bermula pada awal bulan depan sehingga Mac 2025.

Dilaporkan juga fenomena La Nina dijangka bermula pada penghujung 2024 dan berterusan sehingga pertengahan 2025.