Home Berita PAS Terengganu

JPNT rangka insentif baru tingkat industri oelancongan

86
SHARE

KUALA TERENGGANU –  Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) sedang merangka  beberapa insentif baru bagi mempertingkatkan pembangunan industri pelancongan di negeri ini sekaligus dijangka berupaya mencapai sasaran  tiga juta pengunjung pada tahun ini.

Antaranya mengenalpasti, merancang, mengadakan pelbagai program, aktiviti dan memperkukuhkan community based tourism (CBT) bagi meningkatkan lagi daya tarikan dan kunjungan pelancong ke Terengganu.

Pengarah JPNT, Fadli Yusof Zakaria berkata, buat permulaan, pihaknya dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) menganjurkan bengkel halu tuju CBT selama dua hari, bermula semalam melibatkan semua pejabat daerah dan pengusaha CBT.

“Bengkel ini memfokuskan berkaitan hala tuju pelancongan berasaskan komuniti CBT dan pengkongsian pengalaman CBT Kalang Warisan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Bengkel Hala Tuju Pelancongan CBT di Hotel Permai, hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Produk), Ahmad Fathil Abd Ghani.

Fadli berkata, berdasarkan rekod, sebanyak 28 CBT di negeri ini kini  aktif membantu sektor pelancongan Terengganu, termasuk Kalang Warisan, Dataran Batu Putih dan Merchang Lestari.

“Pihak kami melihat  CBT  cukup unik, bukan sahaja mampu menjadi tarikan kepada pelancong malah menambah sumber ekonomi kepada penduduk setempat.

“Pada masa sama,  mengeratkan hubungan persaudaraan antara penduduk dan mampu mempamerkan kelebihan kampung kepada pihak luar, termasuk pelancongan asing,” katanya.

Menurutnya, program CBT diterajui sepenuhnya komuniti, JPNT hanya membantu dari segi khidmat nasihat, penambahan infrastruktur, promosi dan publisiti.

“Tugas dan tanggungjawab komuniti adalah untuk memastikan produk-produk CBT di daerah ini sentiasa terpelihara, memiliki keunikan tersendiri, menjana idea baru yang relevan serta mempergiatkan lagi aktiviti promosi dari masa ke masa,” ujarnya.