Home Berita PAS Perak

JPKK Kampung Senduk atasi aduan pembuangan sampah

158
SHARE

Oleh : Jaudin M Amin

BUKIT GANTANG, Isu pembuangan sampah haram oleh pihak yang tidak bertanggungjawab telah diambil tindakan segera oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Senduk, di sini, kelmarin.

Menurut Pengerusi JPKK Kampung Senduk, Shamsudin Salleh, masalah pembuangan sampah secara haram di kampung ini berlarutan sejak sekian lama sebaliknya terpaksa menanggung kos sendiri untuk membersihkannya.

“Selain menjejaskan alam sekitar dan boleh menyebabkan penularan penyakit berjangkit seperti denggi, ianya juga memberi imej buruk kepada penduduk kampung ini sebenarnya.

“Sebagai tindakan awal, pihak kami telah memanjangkan aduan kepada Pejabat Penghulu Mukim Bukit Gantang untuk mengalihkan sampah sarap ke pusat pelupusan sampah yang berdekatan,” ujar Shamsudin.

Tambahnya lagi yang juga Ketua PAS Cawangan Kampung Senduk Tengah berharap agar pihak berwajib juga dapat membuat pembersihan longkang dalam kampung secara menyeluruh.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan akan membuat permohonan kepada Majlis Perbandaran Taiping (MPT) untuk menyediakan tong sampah ‘roll on roll off’ (RORO) bagi kemudahan penduduk membuang sampah dengan lebih teratur.

Sebagai rekod, pihak MPT telah menyediakan kemudahan tong sampah RORO di luar kawasan operasinya sejak tahun lalu di mana 9 buah kampung telah dipilih sebagai lokasi penempatan tong sampah tersebut.

Malah sebanyak lima buah kampung terlibat dalam Parlimen Bukit Gantang yang mana kutipan sampah dibuat pada setiap hari Selasa dan Sabtu di bawah inisiatif MPT bagi menjamin kebersihan dan pengurusan sampah yang lebih baik.