KUALA TERENGGANU – Sebanyak 6,267 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan ke atas 27,239 motosikal dalam tempoh dua bulan pelaksanaan Op Khas Motosikal yang bermula 1 November lalu
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zamri Samion berkata dalam tempoh itu 858 lain-lain notis turut dikeluarkan dan 231 motosikal disita atas pelbagai kesalahan termasuk ubah suai kenderaan yang ekstrem.
“Kesalahan paling banyak dilakukan nombor pendaftaran ekstrem, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, dan tiada cermin sisi.
“Selain itu bagi Op Khas Gempur Teknikal Kenderaan Perdagangan pula, 338 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam tempoh tujuh hari pelaksanaan bermula 25 Disember lalu, hasil pemeriksaan ke atas 1,015 kenderaan perdagangan,” katanya ketika Op Khas Motosikal di Jambatan Sultan Mahmud malam tadi.
Tambahnya, operasi itu juga bertujuan memburu pemilik motosikal yang melakukan ubah suai ekstrem kenderaan.
”Kita dapati perkara ini semakin menular sejak September lalu dan perlu dicegah segera sebelum terjebak ke aktiviti lumba haram,” katanya.
Dalam pada itu Zamri berkata sebanyak 31 kes kemalangan maut melibatkan motosikal direkodkan dalam tempoh 1 November hingga 31 Disember lalu, dengan jumlah kematian seramai 19 orang.
Selain itu sebanyak 338 saman telah dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 1,015 kenderaan dalam Ops Gempur Teknikal Kenderaan Perdagangan dalam tempoh tujuh hari pelaksanaan bermula 25 Disember lalu.
“Menerusi tindakan penguatkuasaan tersebut, pemilik syarikat atau kenderaan perdagangan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 56 Akta 715 atas kesalahan melanggar lesen pengendali iaitu gagal memberi keutamaan yang tinggi terhadap pengguna jalan raya lain,” katanya.