Home Berita PAS Terengganu

JKNT sasar 10,000 penduduk pulau terima vaksin

257
SHARE

MARANG, 15 Julai – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menyasarkan hampir 10,000 penduduk dan pemain industri pelancongan di pulau-pulau utama di negeri ini menerima suntikan lengkap dua dos selewat-lewatnya akhir Oktober tahun ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata melibatkan Pulau Kapas, Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tenggol dan Tasik Kenyir.

“Ia merupakan satu strategi untuk beri suntikan kepada mereka yang berada di pulau-pulau utama termasuk Tasik Kenyir di Terengganu untuk kita capai sasaran 80 peratus imuniti kelompok.

“Kita berharap setiap daerah yang terlibat akan memberikan data yang lengkap untuk pihak kami bertindak secepat mungkin bagi memastikan penduduk dan pemain industri pelancongan menerima suntikan lengkap vaksinasi COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Outreach Suntikan Vaksin Covid-19 di Pulau Kapas, hari ini.

Sementara itu, seramai 60 pengusaha resort dan pemandu bot termasuk 14 warga asing di Pulau Kapas menerima suntikan dos pertama vaksinasi bagi siri pertama program jelajah ke pulau-pulau.

Mengulas tentang penggunaan jenis vaksin yang akan diberikan kepada penduduk pulau yang terliba, Nor Azimi berkata, ia bergantung kepada bekalan vaksin yang ada.

Bagi wakil pengusaha bot, Zakaria Sulong, 60, dia menyambut baik program yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan kerana tidak perlu ke tanah besar untuk mendapatkan suntikan vaksinasi.