Home Berita PAS Terengganu

JKNT, PDRM jalin kerjasama kuatkuasa Akta Rokok 852

11
SHARE

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasa lain, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) di Terengganu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, keutamaan operasi adalah aktiviti pemasaran dan promosi tidak beretika yang disasarkan kepada golongan kanak-kanak serta remaja.

“Operasi bersepadu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diadakan bagi membolehkan tindakan dikenakan berdasarkan undang-undang dan peranan agensi penguatkuasa lain.

“Jika operasi secara berkolaborasi terutama melibatkan PDRM maka ia membolehkan pihak berkuasa terbabit melakukan pemeriksaan secara terperinci terhadap cecair dalam rokok elektronik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Ops Cakna Akta 852 di Kuala Terengganu City Mall (KTCC) di sini pada Ahad.

Katanya, operasi yang akan dijalankan turut memberi penekanan kepada penjualan vape atau rokok elektronik yang reka bentuk menyerupai pen marker dan gam.

“Tindakan serta-merta akan dikuatkuasakan juga melibatkan pengiklanan dan promosi serta tajaan semua jenis produk merokok malah tempat larangan penjualan produk merokok termasuk rokok elektronik di institusi pendidikan dan pasar jualan.

“Setakat ini etika aktiviti advokasi pendidikan diadakan, kita tidak menemui produk merokok berbentuk permainan di Terengganu,” ujarnya.