Home Berita PAS Terengganu

JHEAT tahan wanita jual makanan kepada individu tidak berpuasa

10
SHARE

KUALA TERENGGANU – Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menerusi Ops Supik Hitam menahan seorang wanita selepas disyaki menjual makanan dan minuman kepada individu yang tidak berpuasa di sebuah rumah di daerah Setiu, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, wanita berusia 48 tahun itu ditahan pada pukul 12.15 tengah hari oleh sepasukan Pegawai Penguatkuasa Syariah daerah Setiu dan ibu pejabat (JHEAT).

Katanya, wanita tersebut ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 19, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana tidak menghormati bulan Ramadan dengan menjual dan membekal makanan kepada orang Islam di siang hari.

“Dia kemudiannya dilepaskan dengan bon jaminan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Setiu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, JHEAT dari semasa ke semasa akan membuat pemantauan dan menjalankan tangkapan kepada individu yang terlibat dengan kesalahan jenayah syariah di negeri ini terutamanya melibatkan kesalahan tidak menghormati Ramadan.

“Bagaimana ada pihak yang sanggup bantu membantu dalam buat kemaksiatan dengan menjual kepada orang tidak berpuasa. Sepatutnya, kita jaga bulan yang mulia dengan ketaatan kepada Allah.

“Justeru, tindakan yang diambil JHEAT sebenarnya lebih kepada memberi keinsafan buat mereka (penjual) agar tidak mengulangi perkara sedemikian pada Ramadan akan datang,” ujarnya.

Berdasarkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, Seksyen 19 tidak menghormati Ramadan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.