HULU TERENGGANU – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah menyerahkan Surat Akuan Nikah kepada 10 pasangan orang asli Sungai Berua.
Ketua Penolong Pesuruhjaya (KPP) Bahagian Undang-Undang Keluarga, JHEAT Moktar Salleh berkata, ia bagi memperkukuh kefahaman dan amalan agama islam di kalangan masyarakat di sini
Katanya, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JHEAT untuk memastikan masyarakat orang asli memahami dan mengamalkan hukum syarak dengan betul.
“Penyerahan Surat Akuan Nikah ini adalah langkah penting dalam memastikan setiap perkahwinan diiktiraf secara sah di sisi undang-undang dan agama.
“Kita melihat keperluan mendalam dalam memperbaiki kefahaman masyarakat orang asli mengenai undang-undang keluarga Islam, khususnya dalam aspek perkahwinan dan makanan halal.
“Program ini bertujuan untuk memberikan penjelasan dan panduan yang tepat agar mereka dapat menjalani kehidupan beragama dengan lebih baik dan sesuai dengan tuntutan Islam,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Program Santuni Masyarakat Orang Asli, ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ di Dewan Masjid Felcra Bukit Kapah, Hulu Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Abdul Hadi Alias.
Pihak JHEAT turut menyampaikan bantuan kepada komuniti orang asli berupa barangan keperluan dan wang tunai, manakala dari pihak ADUN Telemong pula menyerahkan sumbangan kain pelekat dan kain sembahyang.
Moktar berkata, dengan adanya Surat Akuan Nikah itu, pasangan-pasangan tersebut kini dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dalam perkahwinan dengan penuh keyakinan dan kepatuhan terhadap undang-undang Islam.
Tambahnya, ia juga membantu dalam memastikan hak-hak setiap pasangan terjamin dan diiktiraf secara sah.
“Program ini merupakan salah satu inisiatif penting dalam memperkukuh amalan agama dalam kalangan masyarakat orang asli di kawasan tersebut.
“Selain penyerahan Surat Akuan Nikah, program ini juga melibatkan sesi penerangan mengenai pentingnya pengamalan sembahyang lima waktu dan pemahaman mengenai makanan halal.
“Harapan kami adalah agar setiap pasangan yang menerima Surat Akuan Nikah ini akan terus melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pasangan suami isteri dengan penuh kesedaran dan kefahaman tentang tuntutan agama,” ujarnya.