Home Berita PAS Terengganu

JHEAT anjur Tahnik Khusus untuk orang asli

5
SHARE

HULU TERENGGANU – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah melaksanakan Program Tahnik Khusus untuk anak-anak masyarakat Orang Asli di Sungai Berua.

Ketua Penolong Pesuruhjaya (KPP) Bahagian Undang-Undang Keluarga, JHEAT Moktar Salleh berkata ia bertujuan untuk merasmikan nama-nama anak yang baru dilahirkan mengikut syariat Islam dan memberi kefahaman mengenai proses tahnik.

“Program Tahnik tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Mufti Terengganu, Profesor Madya Dr Syed Hadzrullathfi Syed Omar.

“Tahnik merupakan amalan menyentuh mulut bayi dengan kurma atau makanan manis yang telah dirasmikan dengan kalimah Allah SWT.

“Di samping, untuk memperoleh keberkatan dan memulai kehidupan anak-anak dengan cara yang sesuai dengan ajaran Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Program Santuni Masyarakat Orang Asli, ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ di Dewan Masjid Felcra Bukit Kapah, Hulu Terengganu di sini semalam.

Moktar berkata, program tersebut turut melibatkan penyampaian maklumat mengenai proses penamaan anak yang betul dan pentingnya mengikuti ajaran Islam dalam kehidupan seharian.

Tambahnya, para ibu bapa juga diberi panduan tentang cara memastikan anak mereka mendapat pendidikan agama yang baik dari awal usia.

Mengulas lanjut mengenai program, di mana turut menyentuh keperluan mendalam dalam memperbaiki kefahaman masyarakat Orang Asli mengenai undang-undang keluarga Islam, khususnya dalam aspek perkahwinan dan makanan halal.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Berua, Abdul Hadi Alias berkata melahirkan rasa syukur kerana program tersebut memberi peluang kepada mereka untuk memahami lebih lanjut mengenai ajaran Islam.

“Saya sangat menghargai usaha JHEAT dalam menyediakan panduan ini. Ia membantu kami memahami dan mempraktikkan ajaran Islam dengan lebih baik.

“Saya mewakili masyarakat Sungai Berua berharap agar program sebegini dapat dilaksanakan secara berterusan supaya dapat memberi pendedahan yang lebih lagi kepada masyarakat Orang Asli di sini,” ujarnya.