Home Berita PAS Terengganu

Jerangau Jadi Lokasi Pertama 70,000 Pokok Nanas Varieti SG1 Ditanam di Pantai Timur

1
SHARE

DUNGUN – Tanah seluas sembilan ekar di Kampung Tok Kah, Jerangau menjadi lokasi pertama di Pantai timur bagi projek penanaman 70,000 pokok Nanas Varieti Sarawak Gold 1 (SG1) yang diintegarasikan dengan pokok durian pelbagai jenis termasuk ‘Durian Musang King’.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, tanaman nanas itu telah diusahakan oleh Syarikat Tabir Arena Group yang dilihat berpotensi untuk dikembangkan secara meluas bagi dimanfaatkan rakyat di  negeri ini.

“Ini merupakan varieti paling bongsu sekali di Malaysia, di mana Nanas SG1 ini mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2022 yang telah terbukti sangat sesuai ditanam mengikut persekitaran Malaysia setelah dibawa masuk dari Vietnam.”Mengikut maklumat daripada Pengarah Tabir Arena Group, tanah di sini (Jerangau) lebih baik dari tanah gambut di Sarawak bagi menghasilkan pokok yang subur serta buah yang cukup manis serta berkualiti tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas mengadakan lawatan di Ladang Nanas Tabir Arena, di Jalan Tok Kah, Jerangau, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Dr Azman berkata dari projek yang mula diusahakan pada tahun lalu yang mengambil masa setahun setengah itu akan dipantau oleh Lembaga Nanas Negara untuk dikembangkan kepada skala yang lebih besar serta akan lebih ramai pengusaha akan terlibat bagi mengusahakan tanaman nanas tersebut.

“Nanas ini memang salah satu yang disenaraikan dalam program yang kita namakan Skim Kekayaan Baharu (SKB) di samping beberapa tanaman lain yang dilihat sangat berpotensi mendatangkan hasil yang lumayan.

“Sepohon pokok nanas ini ia bukan hanya menghasilkan pendapatan melalui buah malah setiap sulurnya boleh dijual dengan harga RM2.80 serta daunnya boleh dijadikan bahan untuk menghasilkan kraftangan,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Tabir Arena Group, Tee berkata fokus penanaman nanas tersebut di negeri ini adalah untuk memberi manfaat kepada rakyat dan negeri termasuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Kami merancang menjalankan program dengan Lembaga Nanas Malaysia bersama orang kampung, supaya dapat menjana pendapatan tambahan kerana melalui ‘spillover effect’ perniagaan kecil seperti kedai runcit, pengangkutan dan lain-lain akan berkembang.

“Kami juga melihat dengan adanya ECRL nanti ada peluang besar untuk menembusi pasaran luar negara dengan sokongan dan pengedosan Kerajaan Terengganu berpotensi menjadi hub eksport nanas dan produk  cash crop lain ke peringkat antarabangsa,”katanya.

Di samping itu, beliau turut mengalu-alukan keluarga, pelajar dan para pelawat untuk belajar tentang pertanian moden dan sedia bekerjasama dengan universiti, sekolah dan institusi latihan bagi memberikan pendedahan, latihan dan pengalaman pertama dalam bidang tanaman kontan.

“Sebagai anak jati Terengganu, saya amat berbangga kerana dapat menghasilkan nanas berkualiti tinggi serta tanaman kontan lain  dan juga sangat gembiran kerana Varieti SG1 merupakan antara yang terawal diperkenalkan di pantai Timur, boleh dikatakan Terengganu sudah berjaya, tahniah,” jelas beliau.