Home Berita PAS Terengganu

Jeram Mawar besar kemungkinan akan ditutup sementara-Ariffin

195
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kawasan Perkelahan Jeram Mawar di Air Putih, Kemaman besar kemungkinan akan ditutup sementara daripada dikunjungi orang ramai, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman.

Katanya, ianya bagi memastikan tiada lagi kejadian sama berulang dalam masa terdekat susulan tragedi kepala air melibatkan sepuluh mangsa dengan sembilan daripadanya sekeluarga.

“Hujan lebat yang sering berlaku di kawasan hulu sangat berisiko menyebabkan berlakunya tragedi seumpama itu.

“Kita juga akan berbincang dengan pihak berkuasa apakah langkah keselamatan yang perlu diambil seterusnya selepas ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat pelaksanaan Program Payang Walk dan Operasi Beca Warisan di Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Rosli Latif.

Dalam kejadian Sabtu lalu, sepuluh individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari FELDA Lepar Hilir, Kuantan, Pahang yang berkelah di jeram itu, dihanyutkan arus deras kepala air.

Setakat ini, mayat sembilan mangsa tragedi itu telah ditemukan oleh pasukan penyelamat hasil operasi mencari yang dijalankan sejak semalam dengan jarak sehingga 20 kilometer dari lokasi kejadian.

Bagaimanapun, hanya tiga identiti mangsa telah dikenalpasti manakala bakinya masih belum disahkan.

Semalam, mayat dua mangsa, Azizah Eiyi, 40, dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, ditemui kira-kira pukul 12.45 dan 5 petang.

Terkini, mayat ketiga iaitu Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, ditemui berhampiran Kampung Teladas.