Jentera Muslimat Perlu Kuasai Pelbagai Ilmu Pilihan Raya. 

    977
    SHARE

    DUNGUN- Muslimat PAS diseru agar menguasai pelbagai ilmu pilihanraya bagi persiapan pilihan raya umum(PRU) ke 14 kerana peranan muslimat mungkin tidak lagi berada di posisi tradisi muslimat.

    Menurut Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Dungun, Ustaz Jamaluddin Jusoh, di dalam usaha PAS ingin memperkemaskan jentera parti pelbagai kursus dianjurkan seperti pengurusan ‘Poling Agent Counting Agent (PACA),  pasukan kempen, dan pelbagai lagi.

    “Menunjukkan banyaknya bidang untuk kita berjuang, untuk kita berjihad di jalan Allah, “ jelas Jamaluddin yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Terengganu.

    Justeru itu, beliau amat berharap muslimat tidak ketinggalan memiliki ilmu-ilmu tersebut.

    “Boleh jadi ada yang terpaksa memikul tugas bergantung kepada UPU dan keperluan masing-masing.”katanya ketika menyampaikan taujihat pimpinan di Munajat Kemenangan Muslimat PAS DUN Rantau Abang siri ke-sepuluh di Surau Alor Rekam, Pulau Serai di sini pada rabu, 25 Oktober yang lalu.

    Itu adalah kekuatan zahir, terang beliau, manakala kekuatan batiniah, termasuk bab akhlak dimana akhlak adalah sesuatu yang sebati dengan diri kita.“Akhlak kita sebagai pejuang, jadikan baca qur’an sinonim dengan kita, sinonimkan qiamullail, sinonimkan solat sunat, sinonimkan infak kerana ini kekuatan kita , kekuatan rohani“, ujarnya lagi.

    Beliau mengajak muslimat yang hadir sentiasa berasa Allah sentiasa dekat dan kadangkala bila berasa jauh daripada agama maka dekatkan semua dengan banyakkan istighfar.

    “ Istighfar sebanyak mungkin, selawat sebanyak mungkin, banyak mana dok(tidak) kiralah asalkan ianya disinonimkan, asal duduk saja, selawat, asal duduk saja, zikir.” beliau memberi kata-kata motivasi kepada muslimat yang merupakan petugas-petugas kempen DUN itu.

    Manakala Ketua Muslimatnya, Hajah Rugayah Mahmood memberitahu bahawa tugas kempen adalah tugas mutlak muslimat.

    “Dengan kehadiran hari ini amat memberangsangkan, kita mengharapkan muslimat yang hadir ini, akan juga turun pada program gempur pilihan raya yang sedang berjalan sekarang,” Katanya dengan penuh bersemangat.

    Untuk mengekalkan kemenangan di PRU nanti, Jentera Pilihan Raya Muslimat DUN (JPrMD) telah turun  berjumpa pengundi-pengundi  dan memberi penerangan dari rumah ke rumah sebanyak tiga kali seminggu sehinggalah tiba hari mengundi.