KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) melakar sejarah baharu apabila menerima tajaan rasmi daripada Ice Power, jenama antarabangsa berasaskan teknologi dari Finland dengan pakej Bronze, sekali gus memperkukuhkan ekosistem penajaan bola sepak negeri dan mengangkat reputasi kelab ke tahap lebih tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB), Hishamuddin Abdul Karim berkata kerjasama itu menjadi titik tolak penting hubungan strategik antara sektor sukan dan industri.
“Majlis ini adalah satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuhkan kerjasama strategik antara sektor sukan dan pihak industri, khususnya dalam menyediakan sokongan terbaik kepada atlet serta pemain bola sepak dalam negeri kita,” katanya ketika berucap di Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Ice Power dan TFCSB yang dimeterai di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.
Beliau menjelaskan kehadiran Synteq Medical sebagai pengedar rasmi Ice Power membuktikan keyakinan global terhadap usaha pembangunan bola sepak negeri ini dan akan digunakan sepenuhnya dalam pengurusan pasukan.
“Melalui kerjasama ini, Synteq Medical merupakan pengedar produk rasmi Ice Power, yang merupakan produk antarabangsa berasaskan teknologi dari Finland, akan turut digunakan oleh pasukan Terengganu FC untuk pengurusan pasukan seharian.
“Hal ini secara tidak langsung menunjukkan sokongan dan keyakinan sebuah jenama global terhadap usaha pembangunan bola sepak pasukan Terengganu FC,” tambahnya.
Menurut Hishamuddin, kemasukan Ice Power bukan sahaja memberi kelebihan prestasi, malah mampu melonjakkan nilai komersial serta memperkukuhkan reputasi TFC di pentas bola sepak tanah air.
“Kemasukan Ice Power menyertai TFC pada kali ini tentu sekali akan membantu ekosistem penajaan Terengganu FC dan memberikan impak positif dan signifikan, bukan sahaja dari sudut sokongan prestasi pasukan, malah dari sudut komersial dan reputasi kelab.
“Ini membuktikan bahawa sukan, khususnya bola sepak, mempunyai nilai pasaran dan potensi besar,” jelasnya.
Beliau menambah, penajaan antarabangsa ini turut diharap dapat memberi manfaat lebih luas kepada rakyat negeri, bukan sekadar atlet dan pemain.
“Kita juga mengharapkan Ice Power terus melebar ke seluruh negeri Terengganu, bukan sahaja untuk atlet, bukan sahaja untuk pemain bola sepak, tetapi untuk kegunaan bagi masyarakat pelbagai lapisan di kalangan rakyat negeri ini.
“Saya percaya kehadiran penaja antarabangsa seperti Ice Power ini akan membuka lebih banyak peluang dan menjadi pemangkin kepada penyertaan lebih ramai penaja korporat di masa akan datang untuk bersama-sama membangunkan industri bola sepak negeri dan negara,” ujarnya.
Dalam ucapannya juga, Hishamuddin tidak lupa merakamkan penghargaan kepada Synteq Medical atas keyakinan serta kerjasama yang diberikan dalam menjayakan hasrat besar ini.
“Bagi pihak TFCSB, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Synteq Medical atas keyakinan dan kesudian untuk bersama-sama dalam menjayakan hasrat besar kita pada kali ini.
“Saya juga mengharapkan Synteq Medical akan berjaya menembusi pasaran di negeri Terengganu dan seterusnya terus melebar ke seluruh negara dengan penuh meyakinkan,” tambahnya.
Sementara itu, wakil Ice Power dari Pro Skill Leverage, Harideheren menegaskan kerjasama dengan TFC merupakan penajaan pertama mereka dalam arena bola sepak Malaysia selepas aktif menaja acara sukan sejak 2021.
“Kerjasama dengan TFCSB merupakan langkah pertama kami dalam penajaan pasukan bola sepak di Malaysia.
“Ice Power telah menaja beberapa acara sukan dan kesihatan seperti Score Run, Majlis Perbandaran Ampang Jaya Run, serta Garmin Run,” katanya.
Beliau menambah, jenama dari Finland itu kini menjadi penaja rasmi pasukan hoki ais kebangsaan Finland selain kejohanan badminton antarabangsa.
“Ice Power merupakan penaja rasmi pasukan hoki ais kebangsaan Finland.
“Serta kejohanan badminton antarabangsa Arctic Open yang dianjurkan Badminton Finland,” jelasnya.