Home Berita PAS Terengganu

Jelajah Silang Budaya SG4 Perkukuh Kerjasama Pelancongan Empat Negeri

8
SHARE

KUALA TERENGGANU – Program Jelajah Silang Budaya Beautiful Terengganu SG4 2025 berjaya memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pelancongan antara negeri-negeri di bawah gagasan SG4 iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, jelajah di tiga negeri SG4 itu turut disusuli dengan program silang budaya yang mengetengahkan persembahan seni dan budaya masing-masing.

Katanya, jelajah itu bukan sahaja memberi peluang untuk mempromosikan pelancongan Terengganu, malah turut mengeratkan hubungan dua hala antara kerajaan negeri.

“Program ini dimulakan di Kelantan menerusi kunjungan hormat Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud serta penganjuran program silang budaya di Dewan Gelanggang Seni, Kota Bharu.

“Silang budaya itu menyaksikan persembahan kebudayaan seperti tarian dan nyanyian daripada negeri Terengganu dan Kelantan sekali gus menampilkan keunikan kedua-dua negeri tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Perkarangan Menara Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Program Silang Budaya Beautiful Terengganu SG4 ini turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta Tengku Seri Temenggong Raja Terengganu serta barisan kepimpinan kerajaan negeri dan barisan konvoi.

Razali berkata melalui siri jelajah ini, pihaknya dapat berkongsi pengalaman, idea serta perancangan strategik bersama negeri-negeri dalam SG4 dalam usaha memperkasa industri pelancongan serantau secara kolektif.

“Jelajah diteruskan ke Kedah dan Perlis, di mana delegasi Terengganu mengadakan pertemuan bersama Exco Pelancongan Kedah, Dato’ Salleh Saidin di Menara Alor Setar, dan Exco Pelancongan Perlis, Abu Bakar Hamzah di Dewan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

“Dalam pada itu, jelajah ini turut diperluaskan ke peringkat antarabangsa menerusi lawatan rasmi ke Narathiwat, Thailand,” ujarnya.

Di sana, delegasi Terengganu telah mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Narathiwat, Mr Ruslan Arong dan Timbalan Gabenor Narathiwat, Mr Kritsananan Kamrai.