Home Berita PAS Wilayah

Jelajah Munaqasyah Perjelas Hala Tuju Muslimat PAS

718
SHARE

JELAJAH MUNAQASYAH PERJELAS HALA TUJU MUSLIMAT PAS

OLEH : SYARIFAH SYAHIDAH

3 November 2019

SEGAMBUT : Siri Jelajah Munaqasyah Ucaptama Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (JELAS) 2019 bagi peringkat Wilayah Persekutuan diadakan di Segambut Luar, semalam.

Program tersebut dihadiri lebih 100 orang peserta yang terdiri dari para pimpinan Dewan Muslimat PAS Kawasan di Wilayah Persekutuan antaranya Bandar Tun Razak, Batu, Bukit Bintang, Kepong, Titiwangsa dan Labuan.

Dr Najihahtussalehah Ahmad, Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) yang hadir sebagai pembentang munaqasyah ucaptama kali ini menggesa agar kekuatan generasi muda dan pengalaman generasi terdahulu digunakan sebaiknya agar menatijahkan manfaat buat ummah dan Islam.

Beliau turut menekankan tujuh tindakan bersepadu yang mesti dihayati dan dilaksanakan oleh semua muslimat PAS bagi menjayakan agenda DMPM sesi ini.

Sebelum itu, Dr Rosni Adam selaku Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) memberi taujihat kepada para peserta melalui ucapan aluan beliau.

“Terdapat lapan perkara dalam beribadah di antaranya, niat yang betul dan ikhlas dalam melakukannya untuk mencapai mardhatillah.

Lebih banyak dan sukar ibadah yang kita lakukan, lebih besar ganjarannya. Lebih sukar program atau taklifan yang diberikan pada kita, lebih banyak ganjaran yang kita perolehi,” ujarnya lagi.

Turut hadir dalam JELAS semalam adalah Setiausaha Lajnah Penerangan dan Media Baru, Normaziah Khori yang berkongsi fakta bahawa 93% manusia di dunia kini menggunakan telefon mudah alih sebagai alat penghubung yang utama lantas memudahkan manusia untuk mengetahui sesuatu perkara dengan cepat.

“Kepesatan teknologi ini mesti digunakan untuk menjayakan gerak kerja penerangan PAS,” sambungnya lagi.

Dr Hasiba Kamaruddin selaku Ketua Penerangan DMPWP yang juga penasihat program JELAS Wilayah Persekutuan mengingatkan para peserta untuk menyampaikan maklumat yang diperoleh dari program tersebut di kawasan masing – masing agar intipati ucaptama dapat difahami oleh semua ahli dan diterjemahkan kepada gerak kerja yang selari dengan halatuju DMPM sesi ini.

Program yang bermula pada pukul 9.00 pagi ini berakhir dengan sesi soal jawab dan selesai menjelang tengah hari di mana para peserta berpuas hati kerana mendapat maklumat yang jelas dan terus dari para pimpinan.