Khabar PAS Kawasan Dari Selangor | PAS Kawasan Bangi
Oleh : PAS Kawasan Bangi
Budaya meminta-minta jawatan mahupun pangkat adalah bukan budaya Islam yang sebenar!
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya kalian akan bersungguh-sungguh menginginkan jawatan, sedangkan jawatan itu akan menjadi sesalan pada hari kiamat (jika tidak dijalankan dengan baik).”
(Riwayat al-Bukhari)
Dalam hadis tersebut, Rasulullah SAW memberi peringatan kepada kita agar tidak memburu jawatan kerana jawatan yang dikejar itu akan membawa penyesalan di akhirat nanti.
Jika kita meneliti dunia hari ini, isu berkenaan perebutan kuasa, jawatan sesama umat Islam bukanlah suatu perkara yang asing. Malah ia sudah lama berlaku sejak zaman Nabi lagi.
Budaya sebegini tidak patut dijadikan sebagai ‘trend’ yang mana implikasinya akan membawa kepada kehancuran dan pergolakan dalam hubungan persahabatan mahupun persaudaraan sesama kaum juga ummah.
Inilah antara senario semasa yang amat menyedihkan!
Akibat nafsu serakah mahukan jawatan, kita sesama manusia bertelagah bagai tiada hari esoknya. Pelbagai adegan buruk yang mencemarkan imej individu mahupun agama Islam itu sendiri dilakukan seakan-akan tiada rasa ‘malu’ dalam diri sendiri. Malah, kata-kata cacian, perkataan yang kesat dan keji dihembur sesama sendiri. Budaya saling menjatuhkan, amalan bermuka-muka dan saling mendustai sudah menjadi sebati dalam diri masing-masing.
Cuba kita telusuri balik sejarah para Anbiya’, siapakah antara mereka yang bertindak mencari-cari atau meminta-minta jawatan kepimpinan bagi tujuan dakwah atau alasan tertentu?
Sudah tentu tiada.
Sekiranya ada sekalipun, mereka akan bermuhasabah, merayu dan meminta petunjuk kepada Allah bukannya mengemis jawatan kepada manusia.
Benarlah kata Al-Imam Sufyan At-Thauri,
“Barangsiapa yang mencintai kedudukan (kekuasaan), maka persiapkanlah kepalanya untuk saling berentap.”
Akhir kata, admin kongsikan mutiara nasihat juga daripada Imam At-Thauri,
“Fahamilah agama sebelum kamu benar-benar memegang kekuasaan.”
Wallahua’lam.
1 Oktober 2021 | 24 Safar 1443H
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor