Home Artikel PAS Wilayah

Jaulah Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan kukuhkan gerak kerja

422
SHARE

Oleh: Jenno Jamil

LABUAN, Selasa – Seramai 38 orang rombongan Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) berkunjung ke Wilayah Persekutuan Labuan bersempena dengan Jaulah BPPWP ke setiap kawasan-kawasan PAS di peringkat Wilayah Persekutuan di sini pada 6 – 8 Mac 2020 yang lalu.

Antara tujuan Jaulah BPPWP ini adalah untuk mengeratkan ukhuwwah di antara BPPWP dengan PAS Kawasan Labuan. Pada masa yang sama mengemaskini gerak kerja dan strategi yang telah dirangka oleh PAS Kawasan Labuan yang terkini dan yang akan datang daripada pelbagai sudut.

Sepanjang keberadaan rombongan BPPWP di sini, pelbagai program dan aktiviti yang bermanfaat telah dijalankan seperti kuliah Subuh dan Maghrib di beberapa buah masjid di sekitar Labuan, liqo fikri bersama ahli PAS, ziarah kasih, lawatan ke TASTI dan Tapak markaz PAS Labuan serta Hari Keluarga.

Dalam perasmian jaulah ini, pengarah program, Zulafham Zulkifli menzahirkan rasa syukur dan terharu dengan komitmen para AJK dan rombongan yang berkunjung ke Labuan.

“Saya rasa kagum dengan kesungguhan para AJK pelaksana jaulah di peringkat Labuan kerana memberikan komitmen yang tinggi dan program jaulah ini telah dirancangkan sejak 3 bulan yang lalu dan akhirnya jaulah ini berjaya dilaksanakan,” ujar Zulafham.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya mengucapkan syabas dan tahniah kepada AJK pelaksana jaulah kali ini dan tidak lupa kepada matlamat PAS untuk memberi fokus kepada pembangunan manusiawi.

“Kita tidak perlu fokus kepada politik pembangunan kerana terlalu banyak pembangunan yang telah dilaksanakan dan kita harus beralih kepada pembangunan manusiawi. Konsep Al birri wattaqwa juga menjadi agenda kita di mana menjaga kebajikan sejagat kepada bukan Islam dan bersama meningkatkan takwa kepada orang Islam,” ujar Ustaz Azhar.

Difahamkan Wilayah Persekutuan Labuan adalah PAS kawasan yang ke 11 yang telah diziarah oleh BPPWP. Pelbagai input dan idea-idea bernas dapat dikongsikan antara kedua saf kepimpinan tertinggi Wilayah Persekutuan dan PAS kawasan Labuan sepanjang jaulah ini berlangsung.