Home Berita PAS Sabah

Jasa polis dikenang, PAS Putatan edar kek dan kad ucapan sempena sambutan Hari Polis ke-214

277
SHARE

Oleh : Ummu Awatif

30 Mac 2021

PUTATAN : Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, PAS Putatan tidak melepaskan peluang merakamkan penghargaan buat para polis yang banyak berjasa. Justeru, walaupun dalam pandemik Covid-19 ini, PAS Kawasan Putatan meneruskan tradisi menziarahi Balai Polis untuk menyerahkan kek dan kad ucapan sebagai tanda ingatan sempena Hari Polis ke-214 yang disambut pada 25 Mac 2021 yang lalu.

ZIarah diketuai oleh Ustaz Muhammad Akmal bin Othmas, YDP PAS Kawasan Putatan, bermula pada jam 1.50 petang dengan Balai Polis Kinarut (IPD Papar) sebagai destinasi pertama. Seterusnya Balai Polis Daerah Putatan, Balai Polis Tanjung Aru dan Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu. Sebanyak 4 buah Balai Polis diziarahi pada program kali ini.

Turut menyertai ziarah tersebut adalah AJK PAS Kawasan Putatan, Janira Ain Abu Bakar, Pengerusi Lajnah Penerangan dan Mohamad Nazir Ramlan, Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar.

Ustaz Akmal dalam kunjungannya, sempat merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan segunung penghargaan buat semua anggota polis khususnya di Putatan dan sekitar atas khidmat bakti dan komitmen bertugas tidak kira masa sebagaimana tema “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”.

Ziarah ringkas sebegini bertujuan merapatkan silaturrahim PAS Putatan dengan agensi kerajaan, khususnya pihak polis. Sewajarnya mereka diberikan pengiktirafan atas curahan bakti yang tidak terhingga dalam menjaga keselamatan negara walaupun nyawa digadaikan.